PAS sokong salah satu ibu atau bapa Islamkan anak bawah umur

PAS sokong salah satu ibu atau bapa Islamkan anak bawah umur

Seorang pegawai parti itu berkata pengislaman anak bawah umur bukan urusan bukan Islam.

pas-family
PETALING JAYA:
PAS mempertahankan tafsiran undang-undang sedia ada yang membolehkan salah seorang daripada pasangan ibu bapa yang memeluk Islam untuk menukar agama anak mereka kepada Islam, sambil berkata ia tuntutan Islam.

Syed Ahmad Fadhli dari Pusat Penyelidikan PAS berkata pendirian parti itu jelas dan menganggap sebarang kenyataan pemimpin bukan Islam dalam perkara itu sebagai campurtangan.

“Apa yang pasti, PAS semestinya mempunyai pendirian yang tegas dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak dalam hal melibatkan akidah umat Islam.

“Umno, PKR, dan PAN (Amanah) tidaklah saya pasti apa pendirian mereka dalam hal ini?” tulis Fadhli dalam kenyataan diterbitkan lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Beliau merujuk rang undang-undang (RUU) pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian), di mana pengislaman anak bawah umur perlu mendapat persetujuan kedua ibu bapa.

“Pengislaman anak-anak di bawah umur 18 tahun oleh bapa yang Muslim diktiraf Mahkamah Persekutuan sebagai betul dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan,” tulisnya membantah pindaan itu yang menerima sokongan pelbagai pihak.

Akta membaharui undang-undang yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said itu memasukkan Seksyen 88A yang dengan jelas menyatakan “kedua-dua pihak” dalam perkahwinan sivil perlu bersetuju untuk pertukaran agama anak mereka kepada Islam.

PAS sebelum ini meletakkan syarat tidak akan membantah pindaan yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan, mengaitkannya kepada RUU persendirian presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.

“Jika mereka (bukan Islam) mahu bantah undang-undang yang akan hanya memberi kesan kepada Muslim, maka kami (orang Islam) juga boleh menentang cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian),” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan bulan lalu yang mahu ahli Parlimen bukan Islam tidak membantah pindaan untuk memberikan kuasa lebih kepada mahkamah syariah itu.

Baru-baru ini, wakil rakyat PAS di Dewan Undangan Negeri Perlis turut sama dengan Adun dari Umno menyokong pindaan enakmen negeri yang mengesahkan sama ada ibu atau bapa yang memeluk Islam boleh mengislamkan anak bawah umur mereka.

Ia bukan sahaja bercanggah dengan pindaan peringkat Parlimen, tetapi keputusan mufti negeri tahun lalu yang menyifatkan pengislaman anak bawah umur tanpa persetujuan kedua ibu bapa sebagai bertentangan dengan syarak.

PAS: Jangan kacau RUU Hadi atau kami halang akta kahwin sivil

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.