
IS mengenal pasti pengebom berani mati yang melakukan serangan itu sebagai Abu Abdallah al-Masri, menerusi kenyataan di media sosial semalam.
Pengebom terbabit “masuk ke dalam kelompok orang ramai” dan meletupkan tali pinggang letupannya, kata kumpulan pengganas itu dalam kenyataan itu.
Kumpulan itu berkata ia akan terus menyerang “setiap kafir dan murtad di Mesir, dan di mana-mana juga”.
Bagaimanapun, Presiden Abdel Fattah al-Sisi menamakan pengebom berani mati itu sebagai Mahmoud Shafik Mohamed Mostafa, 22, ketika hadir ke majlis pengebumian mangsa pada Isnin.
Meskipun kebanyakan penyerang menyasarkan polis dan tentera di utara daerah Sinai, tetapi pejuang juga menyerang pasukan keselamatan dan pegawai kerajaan di Kaherah.
Serangan itu bertambah buruk sejak Julai 2013 selepas penggulingan presiden Islam, Mohamed Morsi. Penggulingan itu diketuai Sisi, yang juga menteri pertahanan pada masa itu.
Susulan banyak nyawa terkorban ketika pasukan keselamatan menyuraikan protes di 2 kem pro Morsi di Kaherah pada Ogos 2013, perusuh menyerang lebih 40 gereja seluruh negara, selain berdozen sekolah, rumah dan pusat perniagaan milik Kristian.
Serangan itu susulan penampilan Paus Tawadros II di sebelah Sisi pada Julai 2013, ketika panglima tentera ketika itu – yang juga dikelilingi oleh Muslim dan tokoh pembangkang – mengumumkan penyingkiran Morsi menerusi televisyen.
Sisi berkata Mostafa, pengebom berani mati itu meletupkan tali pinggangnya yang dipenuhi bahan letupan di Gereja Saint Peter dan Saint Paul, yang terletak bersebelahan dengan Gereja Besar Saint Mark, di mana paus berada.
Kementerian Dalam Negara berkata Mostafa dikenal pasti menerusi ujian DNA yang diambil daripada sebahagian tubuh yang ditemui dan didapati padan dengan ahli keluarganya.
Ia berkata Mostafa bekerja dengan satu kumpulan yang menerima sokongan logistik dan kewangan daripada ahli Ikhwan Muslimin di Qatar.
Ikhwan Muslimin bagaimanapun menafikan terbabit dengan insiden itu.
Pihak berkuasa setakat ini menahan 4 ahli kumpulan itu, kata Kementerian Dalam Negeri dan masih mencari yang lain, termasuk ketuanya Mohab Mostafa el-Sayed Qassem yang turut dikenali sebagai “The Doctor”.
Qassem ke Qatar pada 2015 di mana dia bertemu ketua Ikhwan Muslimin yang lari dari Mesir, katanya.
Di situ, mereka menawarkannya bantuan kewangan dan logistik untuk menjalankan serangan di Mesir dan ketika kembali ke sana dia ke Sinai Utara, di mana kebangkitan Muslim ekstrem melatihnya menggunakan senjata dan membuat bahan letupan.
Ketika Qassem kembali ke Kaherah, ahli Ikhwan Muslimin di Qatar mengarahkannya mula membuat persiapan dan merancang serangan terhadap Kristian Mesir.
Kementerian itu dalam satu kenyataan mendakwa satu kumpulan bernama Majlis Revolusi Mesir, dikatakan sayap kepada Ikhwan Muslimin, mengeluarkan kenyataan pada 5 Disember “berikrar untuk menyasarkan ketua gereja ortodoks”.
Serangan bom pada Ahad itu menjadi serangan terburuk terhadap Kristian Mesir sejak kejadian pengebom berani mati pada 2011 yang membunuh 20 jemaah di luar sebuah gereja di Alexandria.