
Pemimpin Abu Sayyaf, Abraham Hamid mengetuai penculikan beberapa warga asing di beberapa destinasi pelancongan di selatan Filipina tahun lepas, 2 daripada mereka kemudiannya dipancung.
“Kematian Abraham adalah satu tamparan besar kepada (Abu Sayyaf) kerana ia melemahkan dan merendahkan keupayaan mereka untuk mengesan dan menculik mangsa di masa akan datang,” kata jurucakap tentera, Mejar Filemon Tan.
Dua militan lain turut terbunuh bersama Abraham dalam kejadian tembakan dengan polis Malaysia di Lahad Datu di timur Sabah, katanya.
Abu Sayyaf memenggal 2 tebusan Kanada selepas permintaan jutaan dolar tidak dipenuhi, tetapi membebaskan 2 warga Norway dan Filipina, selepas wang tebusan dipercayai dibayar.
Tan berkata Abraham juga terlibat dalam penculikan 4 anak kapal Indonesia pada April.
Terdapat beberapa siri penculikan pelayar Malaysia dan Indonesia di laut sejak beberapa bulan lalu yang dikatakan dilakukan Abu Sayyaf.
Walaupun Abraham dan 2 militan terbunuh, pasukan keselamatan Sabah berjaya menahan 2 yang lain, kata Tan.
Ketua Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata, kejadian itu konfrontasi pertama pihak berkuasa Malaysia dengan suspek yang disyaki penculik di perairan timur Sabah.
Dalam blog beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memuji pasukan keselamatan dan berkata Kuala Lumpur dan Manila akan bekerjasama melawan kejadian penculikan daripada terus berulang.
Abu Sayyaf, berpangkalan di pulau terpencil di selatan Filipina, memberi cabaran lebih satu dekad kepada serangan tentera.
Kumpulan ini ditubuhkan pada 1990-an dengan dana daripada rangkaian Al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden, tetapi giat menjalankan aktiviti penculikan beberapa tahun kebelakangan ini.
PAUTAN: