
Peniaga Pasar Mini Mohd Isa Kusmiral Mustafa berkata harga santan dinaikkan beberapa hari lalu atas arahan pembekal.
“Kami baru beberapa hari naikkan harga santan. Pemborong kata kelapa susah nak dapat.
“Kami terpaksa ikut arahan pihak yang membawa santan. Kalau tak naik kena marah dengan mereka dan takut rugi,” katanya kepada FMT.

Kusmiral berkata kenaikan harga santan, komponen lazim dalam masakan Malaysia, menyebabkan pembeli mengeluh.
Bagaimanapun, harga kekal yang dijual Kusmiral kekal RM2 bagi yang tidak dimesin dan RM2.40 bagi yang sudah dimesin.
Media hari ini melaporkan kenaikan harga kelapa di beberapa kawasan sejak bulan lalu, memaksa peniaga menaikkan harga santan sehingga RM1 sekilogram.
Kenaikan itu dikatakan akibat kekurangan bekalan kelapa di pasaran, yang sering berlaku pada musim tengkujuh kerana kerja memetik buah tidak dapat dilakukan.
Sementara itu, penjual cendol Hairunisa Abdul Kader berkata harga cendol yang dijualnya kekal RM2.00 bagi jenis biasa dan RM2.50 bagi jenis berpulut.
Ini kerana harga santan yang dibelinya dari Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail masih lagi sama iaitu RM6.50 sekilogram.
“Cuma pada bulan Oktober lalu mereka menaikkan harga santan daripada RM5.00 kepada RM6.50,” katanya.
Hairunisa tidak merancang untuk menaikkan harga cendolnya kerana kos santan tidak berubah.
Normala Osman yang berniaga kuih di Sungai Penchala berkata harga bagi kuih yang memerlukan santan dinaikkan 10 sen setiap satu.
“Sekarang harga kuih yang saya jual satu 50 sen berbanding dahulu 40 sen disebabkan kenaikan harga minyak baru-baru ini,” katanya.