
Mereka berkata, walaupun jumlah itu tidak besar, tetapi ia ketara dan semakin bertambah.
Bagaimanapun, tiada statistik diberikan. Hampir 900,000 pelarian memasuki Jerman pada 2015.
“Dalam kawasan kami, ada beberapa kumpulan pelarian bersedia untuk pembaptisan dan semakin banyak permintaan diterima,” kata Felix Goldinger, seorang paderi Katolik di Speyer, barat daya Jerman.
Katanya, kebanyakan mereka datang dari Iran dan Afghanistan, ada juga dari Syria atau Eritrea.
Sepanjang persiapan pembaptisan hampir setahun di kawasan Goldinger, mereka yang berhasrat menukar agama kepada Kristian digalak mempertimbangkan motivasi mereka.
“Dalam tempoh ini, adalah penting mereka mengkaji agama asal mereka, Islam, dan sebab-sebab mereka mahu mengubahnya.
“Kami gembira orang mahu dibaptis, tetapi ia sangat penting bagi kami untuk mereka yakin dengan keputusan itu.”
Goldinger berkata, “ramai ingat apa yang mereka alami di negara mereka”, termasuk “tindakan keganasan yang dilakukan atas nama agama. Mereka melihat Kristian sebagai agama penuh kasih sayang dan hormat kepada hidup.”
“Ada pelarian yang fikir jika mereka tukar agama, ia lebih senang bagi mereka tinggal di sini, tetapi ia tidak sistematik.”
Seorang lagi paderi, Matthias Linke berkata, umat Islam dilarang murtad, jadi ada di kalangan mereka yang bertindak melarikan diri ke negara lain untuk menukar agama.
“Adakah mereka tukar agama supaya mereka boleh tinggal di Jerman? Ini adalah isu penting bagi pihak berkuasa,” katanya yang sering dirujuk Pejabat Migrasi dan Pelarian.
“Saya tidak ada jaminan, saya hanya boleh tanya mereka ‘adakah anda benar-benar percaya sepenuh hati?’ Selepas pembaptisan, kebanyakan mereka hidup sebagai orang Kristian dan datang ke gereja.
Thomas Klammt yang bertanggungjawab terhadap isu penghijrahan di Union of Free German Evangelical Churches berkata, pelarian Islam yang murtad mungkin berdepan situasi sukar di penempatan pelarian, di mana majoritinya umat Islam.
“Mereka juga mungkin takut untuk keluarga yang masih berada di tanah air.”
Umat Islam yang murtad akan berdepan hukuman penjara atau hukuman mati di sesetengah negara Islam, seperti Iran, Mauritania, Arab Saudi dan Afghanistan.