MCA panggil Adun Perlis kerana gagal bantah pindaan enakmen Islam

MCA panggil Adun Perlis kerana gagal bantah pindaan enakmen Islam

Langkah DUN Perlis itu disokong kesemua wakil Umno dan PAS kecuali PKR, dan dilihat bertentangan dengan RUU Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 2016.

wee-ka-siong_mca_6001
KUALA LUMPUR:
MCA hari ini menuntut penjelasan daripada satu-satunya wakil parti itu di Dewan Undangan Negeri Perlis kerana gagal menyatakan bantahan terhadap pindaan enakmen negeri yang membolehkan salah satu ibu bapa yang memeluk Islam menukar agama anak bawah umur mereka kepada Islam.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu Isnin ini selepas Khaw Hock Kong (MCA-Titi Tinggi) keluar Dewan ketika pengundian dilakukan.

“Pimpinan parti berpendapat YB Khaw sepatutnya menyatakan pendirian tegas parti mengenai ‘ibubapa’ semasa debat di DUN Perlis,” kata Wee.

Semalam, DUN Perlis meluluskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2016 yang membolehkan salah seorang daripada ibu bapa menukar agama anak mereka kepada Islam, bertentangan dengan cadangan di Dewan Rakyat yang hanya membenarkan penukaran agama dilakukan secara bersama oleh kedua ibu bapa walaupun salah seorang pasangan memeluk Islam.

Ia menyaksikan kesemua Adun Umno dan PAS di Perlis menyokong pindaan itu yang mengubah ayat “ibu dan bapa” kepada “ibu atau bapa”.

Satu-satunya wakil rakyat yang membantah ialah Adun PKR, Chan Ming Kai (Indera Kayangan) yang mengangkat tangannya ketika pengundian.

Wee menegaskan pindaan itu bertentangan dengan cadangan di peringkat Parlimen.

“Pindaan ini bercanggah dengan tujuan dan semangat Rang Undang-undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 2016 yang dibentangkan kerajaan persekutuan yang berniat menjaga hak perlembagaan bukan Islam, di mana Seksyen 88A secara spesifik memperincikan sekiranya salah seorang ibu bapa memeluk Islam, anak mereka kekal agama sama dianuti ibu bapa sebelum ini dan penukaran agama kepada Islam hanya boleh dilakukan dengan persetujuan kedua-dua ibu bapa,” katanya.

Pindaan Perlis itu dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, yang berkata ia bagi menyeragamkan kandungan enakmen itu supaya sama makna dengan versi Inggeris yang menggunakan perkataan “parent” dan bukan “parents”, yang menurutnya membawa maksud sama ada ibu atau bapa.

Menurut Azlan, ia sejajar dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang turut menggunakan perkataan “parent”.

Wee bagaimanapun berkata Perkara 160 Jadual 11 perlembagaan menyatakan secara jelas yang kata nama itu merujuk kepada kedua-dua ibu dan bapa.

Katanya, Adun Perlis sepatutnya berpandukan RUU Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.