Ku Nan: Usahawan Bumiputera ‘manja’, mungkin salah Putrajaya

Ku Nan: Usahawan Bumiputera ‘manja’, mungkin salah Putrajaya

Tengku Adnan berkata, usahawan Bumiputera bersifat individualistik berbanding usahawan bukan Bumiputera yang mampu membentuk rangkaian komprehensif untuk membantu satu sama lain.

tengku-adnan
PETALING JAYA:
Menteri Wilayah Persekutuan melabelkan usahawan Bumiputera “manja” kerana tidak mempunyai daya tahan dan daya saing.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dipetik The Sun turut membayangkan Putrajaya mungkin perlu dipersalahkan atas keadaan itu.

“Saya tidak tahu, mungkin ia adalah kesalahan kita. Mungkin kita sudah ‘suap’ anda semua,” katanya pada Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (1 Parlimen 1 Kemahiran) Peringkat Wilayah Persekutuan 2016, semalam.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, walaupun ada orang yang tidak suka apa dikatakannya, beliau sekadar “bercakap dari hati” kerana sedih melihat kaumnya dalam situasi itu.

Ahli Parlimen Putrajaya itu juga mengadu usahawan Bumiputera bersikap sambil lewa dengan bantuan kerajaan untuk memperbaiki tahap kewangan mereka.

“Ada yang fikir tidak mengapa untuk mengalami kerugian kerana mereka pernah mendapat wang daripada kerajaan. Mereka membuat pinjaman, tetapi wang itu tidak digunakan untuk memulakan perniagaan sendiri.”

Katanya, tanah yang diberikan kerajaan kepada masyarakat Bumiputera secara percuma, tidak digunakan untuk sebarang projek pembangunan.

Sebaliknya, beliau mendakwa Bumiputera hanya menunggu nilainya meningkat sebelum menjual tanah itu.

“Apabila kami berikan kepada orang Cina, orang marah, tetapi orang Melayu tidak buat apa-apa.”

Setiausaha Agung Umno itu hairan dengan hakikat usahawan bukan Bumiputera mampu membangunkan satu rangkaian menyeluruh untuk membantu satu sama lain, namun masyarakat Bumiputera tidak berbuat demikian.

“Apa yang Bumiputera mahu ialah menjadi individualistik,” katanya sambil menggesa Bumiputera mengubah pemikiran mereka untuk menjadi kompetitif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.