
Skandal itu mencetuskan tunjuk perasaan mingguan besar-besaran mendesak Park meletak jawatan.
Usul itu, disokong 234 wakil rakyat manakala 56 lagi menentang, menggantung kuasa Park dan menyerahkan kepada mahkamah perlembagaan untuk mendokong usul itu dan menyingkir Park atau menolaknya dan memulihkan kuasa beliau.
Penunjuk perasaan yang berhimpun di luar parlimen menanti keputusan pengundian hari ini menyambut perkembangan itu dengan sorakan.
“Saya rasa seronok!” kata petani Im Chae-jum yang berusia 54 tahun. “Saya jangka usul akan diluluskan, tapi kalau tidak lulus pun, walau apa pun yang berlaku di parlimen, kami akan tumbangkan Park Geun-hye dengan kuasa rakyat.
“Rakyat menang!”
Sokongan kepada Park menjunam ke paras 5% sahaja dalam tinjauan yang diterbitkan hari ini.
Penunjuk perasaan mengibarkan panji dan bendera sambil memanjat jentolak yang dibawa para petani bagi menyekat laluan di luar parlimen.
Orang ramai mengambil swafoto berlatarkan panji gergsasi, “Tahniah kerana memecat Park Geun-hye; Masa untuk penjarakan dia.”
Manakala yang lain meniup trompet atau mengangkat sepanduk, “Kemenangan untuk rakyat!”
Choi Ji-young, ibu kepada seorang kanak-kanak yang maut dalam tragedi feri Sewol 2014, menonton pengundian itu dari dalam sebuah galeri di dewan persidangan. Beliau antara waris mangsa yang menari dan teriak semasa meninggalkan bangunan itu.
“Ini peluang untuk menyiasat bencana itu dan pertanggungjawabkan Park dan para pegawainya.”
Peristiwa feri kawam itu, yang meragut 300 nyawa, terutamanya murid-murid sekolah, membelit Park.
Park, 64, dituduh berpakat dengan seorang kawan dan seorang bekas pegawai, keduanya sudah didakwa pendakwaraya, bagi menekan syarikat-syarikat besar memberi derma kepada 2 yayasan yang ditubuhkan untuk menyokong inisiatif dasarnya.
“Saya rasa seronok,” kata Choi, sambil memegang sekumtum mawar merah diikat riben kuning, simbol bantahan terhadap Park. “Dia patut dipenjarakan.”