Duterte: Mindanao tidak aman tanpa sistem pentadbiran persekutuan

Duterte: Mindanao tidak aman tanpa sistem pentadbiran persekutuan

Duterte turut menggesa orang ramai bersedia menghadapi kemungkinan pengganas melancarkan serangan di Filipina kerana IS akan meresap ke Asia Tenggara untuk menubuhkan kubu mereka di rantau ini.

Rodrigo-Duterte_isis_600
PETALING JAYA:
Mindanao perlu menerima cadangan pelaksanaan sistem pentadbiran persekutuan atau jangan harap wilayah selatan itu mampu mengecapi keamanan, kata presiden Filipina.

Rodrigo Duterte yang dipetik Philippine Daily Inquirer/ANN menekankan kepentingan mempunyai sebuah kerajaan persekutuan bagi memastikan keamanan terjamin di Mindanao.

“Percayalah saya. Ia terpulang kepada anda. Saya serahkan kepada rakyat untuk tentukan. Jika sistem persekutuan tidak diluluskan, anda boleh lupakan sahaja Mindanao. Kita tidak akan kecapi keamanan.

“Oleh itu, jika orang lain menentang idea persekutuan, tanpa federalisme itu, penduduk Moro tidak akan bersetuju dengan apa-apa lagi,” katanya ketika berucap di hadapan penduduk miskin di Mandaluyong, kelmarin.

Beliau turut menggesa orang ramai bersedia menghadapi kemungkinan pengganas melancarkan serangan di Filipina kerana mendakwa IS akan meresap ke Asia Tenggara untuk menubuhkan kubu mereka di rantau ini jika mereka diusir dari Iraq dan Syria.

“Cabaran seterusnya yang saya akan mulakan ialah keganasan. Bersedia untuknya. Itu yang saya paling takut, termasuk masalah mengenai dadah,” katanya.

“Ini masalah kita sekarang. Pengganas ini berjuang di Aleppo dan Mosul. Sebaik saja mereka kehabisan kubu, mereka akan berundur ke laut dan melarikan diri.

“Mereka mempunyai impian menubuhkan sebuah kerajaan khalifah yang terdiri daripada Indonesia, Filipina, Malaysia dan Brunei,” katanya tanpa memberi sebarang bukti untuk menyokong kenyataan ini.

Selasa lalu, Jakarta Post memetik Komander Angkatan Tentera Indonesia (TNI), Jeneral Gatot Nurmantyo yang memberi amaran IS sedang berusaha menubuhkan wilayah di selatan Filipina yang bakal mengancam keselamatan negara jiran itu.

Katanya, IS kehilangan kawasan penguasaannya di Iraq dan Syria dan mula membina pangkalan di Mindanao yang bersempadanan Kalimantan dan Sulawesi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.