
Dalam Twitternya semalam, Trump berkata kos pesawat Boeing 747 yang akan dibina untuk membawa “bakal presiden” itu membabitkan jumlah lebih AS$4 bilion, dan beliau mahu membatalkan tempahan berkenaan.
“Boeing membina pesawat 747 Air Force One baharu untuk bakal presiden, tetapi kos melampau lebih AS$4 bilion. Batal tempahan!,” tulisnya di Twitter.
Ketika ditanya wartawan mengenai Twitter itu, Trump berkata kos membina pesawat itu dalam program Air Force One terlalu tinggi dan mengarut.
“Kami mahu Boeing mendapat keuntungan yang banyak, tetapi tidak sebanyak itu,” katanya dipetik daripada CNN.
Trump tidak memberitahu mengapa beliau fikir kos pesawat itu berjumlah lebih AS$4 bilion, sementara Boeing berkata pada masa ini syarikat itu mempunyai kontrak Air Force One bernilai AS$170 juta.
Sumber daripada Boeing memberitahu CNN, syarikat itu sendiri tidak dapat menganggarkan kos program itu pada masa ini kerana “Pentagon belum memutuskan ciri yang ingin diletakkan pada pesawat baharu itu”.
Sukar untuk menganggarkan kosnya tanpa mengetahui ciri keselamatan yang akan melengkapi pesawat itu, dan Boeing juga belum pasti sama ada kerajaan mahu 2 atau 3 pesawat baharu.
“Kami tidak pasti dari mana Trump dapat jumlah itu,” kata pegawai Boeing dipetik daripada CNN.
“Statistik dipetik Trump itu tidak mencerminkan struktur kewangan antara Boeing dan Jabatan Pertahanan,” kata jurucakap Pejabat White House Barack Obama, Josh Earnest.
Dalam kenyataan rasminya, Boeing berkata kontrak semasanya membenarkan syarikat itu “membantu mengenal pasti keupayaan pesawat tentera yang memerlukan keperluan unik untuk presiden AS”.
Setakat ini Air Force memperuntukkan bajet AS$2.9 bilion sehingga 2021 untuk membina 2 pesawat baharu, bagi menggantikan pesawat lama yang digunakan presiden pada masa ini, berwarna biru dan putih, model 747-200Bs.
Pesawat baharu itu dijangka akan hanya sedia untuk berkhidmat pada 2022. Pada masa ini program Air Force membelanjakan kira-kira AS$93 juta untuk persediaan pembinaan pesawat baharu dan ia termasuk dalam kontrak semasa Boeing.
Dokumen bajet Jabatan Pertahanan menyatakan pembinaan pesawat baharu itu belum bermula.