
Ditemui pemberita pada Selasa seusai sidang media mengumumkan penjenamaan semula AirAsia FC kepada Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers), Tan Sri Tony Fernandes mahu menyumbang kepada bola sepak Malaysia terlebih dahulu.
“Saya rasa saya belum layak menjadi presiden FAM. Saya fikir saya perlu menyumbang kepada bola sepak tempatan terlebih dahulu. Mungkin selepas kita bina PJ Rangers menjadi sesuatu yang istimewa.
“Tetapi sekarang ini, saya belum cukup arif tentang bola sepak tempatan dan saya rasa saya tak sepatutnya menjadi presiden FAM sekarang ini,” jelasnya kepada portal bola sepak Goal.com.
Pemilik Queens Park Rangers yang beraksi dalam Kejuaraan Inggeris itu berharap pemegang jawatan presiden FAM akan dilantik dari kalangan yang berpengalaman dalam bola sepak Malaysia.
“Saya harap presiden FAM seorang yang pernah menyumbang kepada bola sepak. Bukan sekadar bidan terjun. Pemegang jawatan perlulah orang yang faham mengenai bola sepak dan pembangunannya. Pemain Malaysia sebaik pemain negara lain. Kita ada pasukan U16 yang menewaskan Manchester United.
“Tetapi ada sesuatu yang tidak kena dengan urus tadbir dan pembangunan. Oleh itu ia perlukan seseorang yang benar-benar mahu tugas itu, yang mempunyai minat yang mendalam, yang sudi bekerja 24/7 dan cukup kuat untuk hadam semua politik demi melakukan yang sebetulnya untuk bola sepak,” kata Fernandes.
Kongres FAM dijangka diadakan pada Mac 2017. Beberapa nama lain turut disebut bersaing untuk jawatan itu.