
Peguam sivil berkata, Malaysia sebuah negara sekular dan semua rakyat menikmati perlindungan sama rata di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurut peguam syariah Mohd Rafie Mohd Syafie, pegawai penguat kuasa mengikut bidang kuasa undang-undang apabila mengetuk pintu kediaman pasangan yang dipercayai terlibat kegiatan tidak bermoral.
“Bagaimanapun, mereka yang didapati bersalah atau mengaku bersalah kerana berkhalwat biasanya didenda,” katanya.
Beliau berkata tidak ada sebab 2 polis terlibat dalam serbuan khalwat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) semalam bertindak berlebihan apabila berhadapan pihak berkuasa agama.
Rafie berkata demikian susulan seorang anggota polis maut dan cedera di Cheras selepas terjun dari tingkat 4 sebuah apartmen di Cheras, dalam usaha melarikan diri daripada serbuan.
Dalam kejadian berasingan di Puchong Perdana, seorang lagi anggota polis cedera kerana cuba mengelak daripada ditangkap oleh Jais selepas disyaki berkhalwat.
Sementara itu, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata Malaysia adalah sebuah negara sekular dan ini disahkan panel hakim Mahkamah Agung yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar Che So vs PP.
“Saya memberikan penghormatan kepada individu terpelajar seperti Salleh berbanding pandangan orang lain yang kurang terpelajar daripada beliau,” katanya.
“Oleh itu, undang-undang subsidiari atau kuasa yang berasal daripada undang-undang itu perlu diuji dengan peruntukan Perlembagaan,” katanya.
Jika tidak, akan berlaku ketidakseimbangan, ketidakadilan, diskriminasi Perlembagaan atas alasan bangsa dan agama.
“Bagaimana mungkin apabila bukan Islam melakukan ‘sesuatu’ dan tidak menjadi kesalahan tetapi jika seorang Muslim melakukan ‘sesuatu’, ia menjadi kesalahan. Itu tidak betul.
Sri Ram berkata khalwat adalah melanggar Perlembagaan kerana serbuan adalah pencerobohan privasi.
Peguam G Subramaniam Nair berkata khalwat di kalangan kakitangan kerajaan beragama Islam kini dilihat sebagai salah laku di bawah Perintah Am.
Beliau berkata sebaik sahaja seorang penjawat awam didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah, Lembaga Disiplin boleh mengambil tindakan terhadapnya.
“Pada masa lalu, tindakan diambil jika seseorang melakukan kesalahan jenayah tetapi kini ia diperluaskan kepada kesalahan agama,” kata peguam yang mengendalikan kes pembuangan kerja di kalangan kakitangan awam.
Subramaniam berkata anggota polis adalah pegawai Persekutuan dan mereka tidak boleh dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar undang-undang syariah negeri.