
Pengerusi Suruhanjaya Penasihat Rakhine itu pada satu sidang akhbar di sini semalam berkata genosid atau penghapusan kaum ialah tuduhan serius yang memerlukan semakan dan penentuan kehakiman yang tidak boleh dilemparkan kepada mana-mana pihak sewenang-wenangnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai sama ada tentera Myanmar melakukan pembunuhan kaum atau genosid terhadap masyarakat Rohingya di Rakhine, utara negeri itu, seperti dilaporkan sesetengah media antarabangsa.
Pada penghujung November, BBC World Service menyiarkan berita memetik pegawai agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Bangladesh sebagai menuduh kerajaan Myanmar melakukan pembersihan etnik terhadap masyarakat minoriti Islam Rohingya.
Myanmar kemudian menafikan dakwaan itu.
The Irrawaddy melaporkan Annan berkunjung ke Myanmar pada bulan lalu untuk mendapatkan lebih maklumat berhubung keadaan di Rakhine susulan pertembungan senjata antara tentera Myanmar dengan militan di kawasan Maungdaw.
Selama 3 hari, beliau dan 8 lagi ahli suruhanjaya melawat Buthidaung dan Myaypon serta kota lama Mrauk-U serta meninjau perkampungan di utara Maungdaw, kawasan di mana kumpulan berhaluan kanan berkata tentera melanggar hak asasi manusia dan menghancurkan komuniti di situ.
Di sebalik usaha untuk mendokumenkan perspektif berbeza bagi kedua-dua pihak – masyarakat Muslim di Rakhine dan pemimpin serta belia kumpulan agama, beberapa NGO tempatan di Rakhine atau ahli politik bersetuju bertemu Annan, dan berkata delegasi itu mencampuri hal ehwal dalaman di daerah itu.
Sumber yang turut serta dalam mesyuarat dengan Annan pada Isnin memberitahu The Irrawaddy tiada kerjasama penuh daripada masyarakat Buddha Rakhine menyebabkan pengerusi suruhanjaya itu rasa seperti “belum selesai”.
Pada Isnin dan Selasa, Annan mengadakan pertemuan dengan Presiden Myanmar U Htin Kyaw, penasihat negara Aung San Suu Kyi, ketua angkatan tentera Min Aung Hlaing dan wakil rakyat Rakhine.
Dalam pertemuan itu, Annan mencadangkan sekatan akses yang dikenakan terhadap media dan organisasi bantuan antarabangsa di kawasan terlibat dibatalkan.
“Terlalu banyak cerita dan khabar angin. Orang tak tau yang mana betul, mana tidak. Ketelusan ialah alat berkuasa untuk menghakis sesetengah khabar angin. Media juga dibenarkan membuat kerja mereka,” katanya dipetik The Irrawaddy.
Suruhanjaya itu akan menyerahkan laporan awal kepada kerajaan kesatuan pada Februari depan.