Kenaikan caj parkir: Permohonan Teresa didengar tahun depan

Kenaikan caj parkir: Permohonan Teresa didengar tahun depan

Ahli Parlimen Seputeh dan seorang lagi individu menuntut satu deklarasi yang kenaikan caj parkir dikenakan terlampau dan tidak munasabah, terlalu tinggi dan membebankan orang ramai.

teresa-parking
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Mac tahun depan bagi mendengar permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman difailkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok untuk membatalkan perintah menaikkan caj parkir.

Perkara itu dimaklumkan peguam K Muralidaran yang mewakili Kok dan Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan Mohd Yusof Abdul Rahman selepas pengurusan kes itu dalam kamar Hakim Datuk Hanipah Farikullah.

Kok dan Yusof selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran itu pada 7 Oktober lepas dengan menamakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai responden pertama hingga ketiga.

Kedua-dua pemohon menuntut satu deklarasi kenaikan caj parkir yang dikenakan terlampau dan tidak munasabah, terlampau tinggi dan membebankan orang ramai.

Mereka turut mendakwa kenaikan caj dilaksanakan responden juga gagal mengambil kira keadaan sistem pengangkutan awam yang masih belum sempurna dan tidak meliputi kebanyakan kawasan terutamanya di pinggir bandar.

Peguam Datuk S Satharuban bertindak bagi pihak Amin manakala Peguam Kanan Persekutuan Mazifah Ayub mewakili Tengku Adnan dan DBKL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.