
Pengurus Hubungan Luar Ideas, Azrul Mohd Khalib berkata ia juga bersifat diskriminasi dan perkauman.
“Sekiranya kita ikhlas mahu menolong mereka yang terpaksa melarikan diri ke negara lain disebabkan peperangan, penganiayaan dan konflik atau kemanusiaan lain, kita harus melihat isu ini secara terbuka dan bukan dari segi agama dan kaum sahaja.
“Reputasi negara lebih baik sekiranya kita berpegang kepada prinsip rasional, hak asasi manusia dan saling berkomunikasi di antara negara,” katanya kepada FMT hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menyarankan agar pengeluaran kad UNHCR yang dikeluarkan kepada warga Myanmar perlu dikaji semula.
Beliau berkata, ia bagi memastikan kad itu hanya dikeluarkan kepada etnik Rohingya beragama Islam yang berada di negara ini.
Mengulas lanjut, Azrul berkata pendaftaran dan pengeluaran kad UNHCR adalah berdasarkan sebab kemanusiaan dan latar belakang sahih pelarian yang memiliki dokumen itu.
“Ia tidak diberikan sewenang-wenangnya kepada sesiapa sahaja tanpa kajian dan temuduga lengkap yang dilakukan pegawai UNHCR,” katanya.