Suu Kyi berdepan tentangan pelampau, sentimen anti-Rohingya, kata majalah Myanmar

Suu Kyi berdepan tentangan pelampau, sentimen anti-Rohingya, kata majalah Myanmar

Majalah isu semasa Myanmar itu menempelak sikap Najib yang menyalahkan Suu Kyi, dan menambah ikon demokrasi itu mendapat tentangan sami pelampau dan ahli politik Arakan.

Aung-San-Suu-Kyi_rohingya20_600
PETALING JAYA:
Sebuah majalah isu semasa Myanmar mempertahankan peranan Aung San Suu Kyi yang menurutnya bertungkus lumus mencari jalan menyelesaikan isu penindasan Rohingya di Arakan, sambil membidas Datuk Seri Najib Razak kerana menuduh pemimpin Myanmar itu membisu.

The Irrawaddy dalam lidah pengarangnya berkata Suu Kyi yang kini menjawat kaunselor negara Myanmar itu bukan sahaja berdepan dengan sejarah Rohingya yang “kompleks”, tetapi juga sentimen penduduk setempat dan kumpulan sami pelampau yang menyokong serangan ke atas Rohingya.

“Pelbagai isu hangat kini dipikul di atas bahunya tetapi beliau tidak hanya melihat situasi di wilayah Arakan. Beliau sudah menyatakan untuk memberi tumpuan menyelesaikan masalah Arakan,” tulis Aung Zaw semalam.

Menurutnya, Suu Kyi turut mengambil risiko politik dengan melantik bekas setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan bagi mengetuai sebuah suruhanjaya penasihat menangani krisis Rohingya.

“Malangnya, beliau berdepan bantahan daripada wakil rakyat Arakan dan tentera Burma kerana melantik orang asing,” kata Irrawaddy.

Menurutnya, ahli politik tempatan di Arakan tidak setuju dengan penglibatan Suu Kyi, yang memilih bertindak cermat dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan rancangannya tidak gagal.

Suu Kyi menerima kritikan antarabangsa termasuk daripada penyokongnya di Barat ekoran sikapnya yang dilihat tidak pro-aktif dalam menghentikan kekejaman ke atas penduduk Rohingya.

Pemenang anugerah Nobel itu turut dikritik Najib pada Himpunan Solidariti Ummah yang dihadiri pemimpin Umno dan PAS pada Ahad lalu.

“Kita nak beri isyarat kepada kerajaan Myanmar, nak beritahu kepada Aung Sang Suu Kyi – ‘enough is enough’,” Najib berkata dalam ucapannya di sebuah stadium di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Irrawaddy menganggap ucapan Najib itu berbaur agenda politik di sebalik pelbagai dakwaan melibatkan syarikat 1MDB.

“Najib, seperti ramai pemimpin kerajaan Asia lain, bukan pejuang hak asasi,” katanya.

“Kepada perdana menteri Najib — sekiranya kamu mencari pihak untuk dipersalahkan demi mengalihkan perhatian daripada kemelut politik kamu, carilah di tempat lain. Kamu tidak akan menemuinya di Burma,” tulis Aung Zaw merujuk nama lama Burma yang diubah junta tentera kepada Myanmar pada 1989.

Menurutnya, Suu Kyi sekurang-kurangnya menunjukkan keinginan politik bagi menyelesaikan isu Rohingya yang selama ini dinafikan semua regim Myanmar.

“Di peringkat dunia mahupun serantau, isu Rohingya tidak perlu dijadikan sandaran bagi kepentingan ahli politik,” katanya.

“Aung San Suu Kyi, dengan segala kuasa politiknya yang terbatas, menumpukan tenaganya menangani isu sensitif di wilayah Arakan. Beliau bukan malaikat, beliau seorang ahli politik yang juga banyak membuat kesilapan.”

Majalah itu mengakui sikap ekstrem sami Buddha yang anti-Islam terhadap penduduk Rohingya, tetapi mengingatkan terdapat pelbagai rungutan di kalangan penduduk miskin Buddha yang tidak menerima perhatian media antarabangsa.

“Umat Islam Rohingya berdepan isu kemanusiaan yang amat perit di salah sebuah negeri paling miskin di Burma.

“Penduduk Buddha di Arakan dan minoriti lain di negeri itu merasakan pertubuhan antarabangsa dan media Barat hanya memberi tumpuan kepada nasib Rohingya tanpa menjelaskan sejarah kompleks wilayah itu,” katanya.

Wilayah Arakan yang dinamakan semula kepada Rakhine kembali bergolak selepas serangan terbaru ke atas penduduk Rohingya, yang dinafikan hak kewarganegaraan oleh Myanmar susulan pindaan perlembagaan.

Dalam serangan terbaru, lebih 10,000 penduduk Rohingya dilaporkan melarikan diri ke sempadan Bangladesh.

Najib kecam Suu Kyi, tak kisah putus hubungan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.