
Naib Ketua Wira Perkasa Malaysia Mohamad Shahiran Safwan Che Mohd Asemari berkata kerajaan Kelantan harus menghentikan tuduhan yang bantahan Orang Asli itu berpunca daripada hasutan pihak luar.
“Dekatilah mereka dan selamilah rasa sayang dan cinta mereka terhadap hutan yang menjadi tempat tinggal mereka turun temurun. Pilihlah, nak lindungi orang asli atau tauke balak?
“Sekiranya mereka terus dibuli dan dihalang, kami sanggup berkhemah bersama mereka sehingga tuntutan mereka didengar oleh kerajaan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Orang Asli yang ditahan kerana menghalang laluan pembalakan di Gua Musang mengancam akan mengadakan sekatan lebih banyak dan berskala besar.
Malah, menerusi rakaman udara yang meninjau kesan pembalakan di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal Balah di Gua Musang mendapati banyak bukit gondol dengan pokok yang ditebang dilonggokkan di satu tempat.
Shahiran berkata pihaknya sanggup menyediakan peguam bela untuk Orang Asli jika nasib mereka terus tidak terbela.
“Wira Perkasa mendesak kerajaan negeri Kelantan tidak lagi mengeluarkan lesen untuk kegiatan pembalakan di kawasan tanah adat Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Kelantan seharusnya bersimpati dengan nasib yang menimpa Orang Asli bukannya hanya bersimpati dengan nasib etnik Rohingya yang ditindas pihak berkuasa Myanmar.
“Jika kerajaan Kelantan fikir mereka ada hak mutlak untuk memberi lesen pembalakan, Orang Asli pula ada hak terhadap tanah adat mereka. Ingat, Orang Asli juga diiktiraf dan dilindungi di bawah Perlembagaan Malaysia melalui Artikel 8(5)(c),” katanya.
FMT diberitahu lebih 80% aktiviti pembalakan dilakukan berhampiran penempatan Orang Asli.
Jaringan Orang Asal Semalaysia (JOAS) mendakwa skala pembalakan di kawasan terbabit memberi kesan kepada kira-kira 13,000 orang dan melibatkan 17 pos Orang Asli.
Bukan itu saja, masyarakat Orang Asli di Kelantan turut mengancam untuk menolak kerajaan PAS dan Barisan Nasional jika hak mereka untuk mendapatkan tanah adat dan kawasan penempatan gagal diselesaikan.