Ahli DAP sokong kerjasama dengan Dr M, kata Guan Eng

Ahli DAP sokong kerjasama dengan Dr M, kata Guan Eng

Setiausaha agung DAP menghargai kerjasama dengan Dr Mahathir kerana menyedari tidak mudah bagi bekas perdana menteri itu datang ke persidangan kebangsaan parti itu.

lim-guan-eng_dap_600mahathir
SHAH ALAM:
Tidak seperti perwakilan DAP Shamsher Singh Thind, ahli lain parti itu sangat gembira dengan penyertaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjuangan mereka.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Shamsher mempunyai hak meninggalkan parti itu jika tidak bersetuju dengan pakatan politik yang baru ditubuhkan tetapi pendirian beliau tidak mewakili ahli parti lain.

“Beliau (Shamsher) mempunyai hak berbuat demikian (keluar parti).

“Tetapi kita mahu bergerak ke hadapan dan perwakilan menunjukkan sokongan mereka terhadap kerjasama dengan Dr Mahathir.

“Anda melihat respons hari ini,” kata Lim ketika ditemui FMT selepas persidangan Kebangsaan DAP di sini.

Shamsher tengah hari ini mengeluarkan kenyataan akhbar mengumumkan peletakan jawatannya daripada DAP, memetik kehilangan keyakinan terhadap pemimpin parti, terutama Lim Kit Siang.

“Daripada apa yang saya lihat, sama ada Kit Siang berbohong mengenai Dr Mahathir dan (bekas timbalan perdana menteri) Tan Sri Muhyiddin (Yassin), atau beliau tidak mempunyai masalah bekerjsama dengan orang yang menyalahgunakan kuasa mereka dan rasuah pada masa lalu.

“Mana-mana pandangan yang diguna, perkara yang ingin saya buktikan adalah Kit Siang kehilangan kredibilitinya,” kata Shamsher dalam satu kenyataan akhbar.

Bagaimanapun pemimpin DAP melihat kerjasama politik itu sebagai “detik bersejarah” di mana Dr Mahathir, buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun, menghadiri persidangan tahunan parti itu.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke dalam ucapan penggulungannya petang ini, berkata kehadiran Dr Mahathir adalah tanda kejayaan parti.

“(Dr Mahathir) Kenyataan beliau hari ini, di mana beliau mengakui gambaran masa lalu tentang DAP adalah salah, sangat penting kepada kami.

“Terutamanya apabila ia datang daripada seseorang yang mengetuai negara ini selama 22 tahun,” kata Loke berhubung Dr Mahathir.

Guan Eng yang bercakap selepas Loke mengulangi sentimen yang sama, berkata ia tidak mudah bagi Dr Mahathir untuk membuat langkah politik seperti itu.

“Ada yang mempersoalkan bagaimana kita boleh bekerjasama dengan Dr Mahathir selepas bertarung dengan beliau selama 22 tahun.

“Sekarang beliau mahu melawan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak dan bersedia bekerjasama dengan kami.

“Jadi mengapa tidak boleh kita bekerjasama dengan beliau untuk menurunkan Najib? Ia tidak mudah bagi Dr Mahathir untuk datang ke sini. Beliau terpaksa memakai tag DAP … pada bajunya, terdapat sebuah roket (logo DAP).

“Tetapi beliau melakukannya kerana mahu melawan Najib dan jika mahu melawan Najib, kita juga perlu melakukan perkara yang sama.”

Perwakilan DAP letak jawatan, hilang kepercayaan kepada parti

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.