
“Bukan sahaja tindakan sudah dijalankan (tetapi akan ada lagi tindakan) dalam waktu terdekat.
“Jangan salahkan kerajaan, mana-mana pihak yang lakukan kesalahan, tunggu tindakan pihak berkuasa,” kata menteri dalam negeri itu dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2016 hari ini.
Naib presiden Umno itu berkata, jawatankuasa khas terbabit dianggotai polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.
Timbalan perdana menteri itu memberi contoh pemantau pilihan raya Bersih yang dilaporkan menerima dana asing daripada Open Society Foundation (OSF) milik jutawan, George Soros sebagai usaha asing menjatuhkan kerajaan sedia ada melalui “revolusi warna”.
Katanya, beberapa revolusi seperti Revolusi Velvet di Czechoslovakia (1989) dan Revolusi Oren di Ukraine (2004) serta “Arab Spring” beberapa tahun dulu turut diresapi pengaruh asing.
“Mengikut laporan perisikan, beberapa pertubuhan di Malaysia turut diresapi gerakan ini seperti Suaram, Majlis Peguam, Malaysiakini dan Sarawak Report.
“Bersih yang membuat perhimpunan untuk desak pilihan raya adil, tetapi sebenarnya membuat gerakan warna kuning untuk jatuhkan kerajaan,” katanya yang mengajak perwakilan menyuarakan penghargaan kepada polis yang bertindak adil dan profesional untuk menggagalkan usaha itu.
“Sesungguhnya kerajaan tidak akan membiarkan negara ini tumbang seperti mana negara-negara yang disebutkan tadi,” katanya yang disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Pada 1 November lalu, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah mengakui gabungan itu pernah menerima sumbangan RM70,000 daripada sebuah yayasan kelolaan Soros antara 2010 dan 2011, tetapi ia hanya merupakan 11% daripada pendapatan mereka ketika itu.
Sejak itu, katanya, gabungan tersebut bergantung kepada derma orang ramai bagi penganjuran aktivitinya.
Susulan itu, polis menahan Maria selama 10 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma, sehari menjelang perhimpunan Bersih 5.
Penahanan itu dibuat berdasarkan penemuan 1 dokumen ketika polis menyerbu pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya pada 18 November lalu, yang menyebabkan mereka percaya Maria mungkin terbabit dalam aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen di Malaysia, kesalahan di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan.
Bersih: Sekali terima RM70,000, selepas itu derma orang ramai