Singapura haramkan bekas pengerusi Goldman Sachs kerana 1MDB

Singapura haramkan bekas pengerusi Goldman Sachs kerana 1MDB

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura bercadang melarang Tim Leissner daripada terbabit sebarang aktiviti dalam industri sekuriti selama 10 tahun.

goldman
SINGAPURA:
Pihak Berkuasa Kewangan Singapura bercadang melarang bekas pengerusi Kumpulan Goldman Sachs di Asia Tenggara daripada industri sekuriti selama 10 tahun kerana melanggar penyaluran haram wang berbilion dolar daripada dana 1MDB.

The Straits Times melaporkan Tim Leissner, 45, didapati mengeluarkan surat rujukan tidak dibenarkan kepada sebuah institusi kewangan di Luxembourg, pada Jun 2015, menyatakan Goldman Sachs sudah melakukan usaha wajar terhadap jutawan Malaysia, Low Taek Jho dan keluarganya, serta tidak mengesan sebarang aktiviti pengubahan wang haram.

Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low sudah dikenal pasti sebagai orang berkepentingan dalam siasatan berkaitan 1MDB.

Apabila skandal 1MDB berlaku pada 2015, kontroversi timbul sama ada wang dalam dana itu digunakan seperti dirancang ke atas projek tempatan atau diseleweng.

Pendakwa Switzerland yang meminta bantuan Malaysia untuk menyiasat 1MDB berkata, mereka mengesyaki AS$4 bilion mungkin disalahgunakan.

Goldman Sachs mengkaji semula perjanjian jualan bon itu dan menemui surat rujukan yang ditulis Leissner. Beliau kemudiannya diberikan cuti sebelum meletak jawatan pada Februari lalu.

Menurut laporan Bloomberg, Leissner kemudian berpindah ke Los Angeles bersama keluarganya, di mana beliau memiliki sebuah rumah berkeluasan 9,405 kaki persegi yang dilengkapi 7 bilik tidur, gimnasium, gelanggang tenis dan sebuah rumah tamu.

Leissner disepina penyiasat Amerika Syarikat pada Februari lalu berhubung 1MDB.

The Straits Times melaporkan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura akan menyerahkan notis untuk mengeluarkan perintah larangan terhadap Leissner.

Mengikut perintah larangan itu, Leissner dilarang menyertai secara langsung atau tidak langsung, serta tidak boleh melakukan sebarang aktiviti yang dikawal selia di bawah Akta Masa Depan Sekuriti selama 10 tahun, dalam pengurusan mana-mana firma perkhidmatan pasaran modal di Singapura.

Peguam Leissner dalam satu kenyataan memaklumkan tiada perintah larangan atau sekatan dikeluarkan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura atau mana-mana agensi kawal selia lain.

PAUTAN:

Bank Pusat Singapura denda Standard Chartered terlibat transaksi 1MDB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.