
Naib presiden Umno itu berkata, ahli parti juga tidak perlu mempersoalkan mandat yang diberikan kepada pucuk pimpinan untuk membantu presiden.
“Kita laksanakan arahan kepimpinan kita, pastikan gelombang yang kita wujudkan hari ini akan menjadi tsunami menuju PRU14. Marilah kita memberi sepenuh komitmen dan kerjasama kepada pemimpin yang diberikan mandat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU 2016), hari ini.
Hishammuddin turut mengingatkan ahli dan perwakilan untuk mempertahankan presiden parti daripada diserang musuh.
“Yakinlah kita sedang lakukan perkara benar dan betul. Kerana sememangnya tiada kebaikan dari kepimpinan lemah, selain membawa kehancuran kepada organisasi,” katanya sambil memetik ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1976 yang menekankan pentingnya institusi parti dipertahankan.
“Amanah tersebut harus dipertahankan. Amanat tersebut menjadi pedoman dan pegangan saya sehingga hari ini.
“Tetapi Tun, kenapa bila hari ini kita menzahirkan kesetiaan kepada pemimpin, kita dipersalahkan. Kenapa bila kita pertahankan kepimpinan, kita dihina.
“Kenapa bila kita pertahankan presiden, kita dicemuh. Cakap tak serupa bikin, bikin tak serupa cakap,” katanya.
Tanpa berselindung, Hishammuddin berkata, PAU 2016 berbeza dengan perhimpunan agung 2015 kerana tahun ini ia dihadiri pemimpin yang setia kepada parti.
“Perhimpunan tahun ini cukup harmoni dan penuh kemesraan. Kita bersalaman, bertegur sapa, bergelak tawa, berbicara hati ke hati dengan penuh keikhlasan, tanpa sebarang prasangka dan ragu-ragu.”