Dapsy desak beri rakyat hak pilih aliran pendidikan

Dapsy desak beri rakyat hak pilih aliran pendidikan

Leong Yu Sheng berkata hak memilih itu perlu diberikan meskipun akan wujudnya perbezaan daripada segi bahasa pengantar, kebudayaan dan sukatan pelajaran.

Leong-Yu-Sheng
PETALING JAYA:
Rakyat sepatutnya berhak memilih aliran pendidikan diingini tanpa diskriminasi daripada kerajaan, kata Biro Hal-ehwal Varsiti Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Kebangsaan.

Leong Yu Sheng berkata hak memilih itu perlu diberikan meskipun akan wujudnya perbezaan daripada segi bahasa pengantar, kebudayaan dan sukatan pelajaran.

Bagaimanapun, katanya realiti pada masa ini ialah Umno dan MCA sering mempermainkan isu pendidikan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan gagal menegakkan keadilan sosial untuk masyarakat majmuk Malaysia.

“Sistem pendidikan UEC sudah lama ditindas kerajaan Umno BN yang konservatif dan zalim. Sedangkan kelayakan UEC diiktiraf pelbagai institusi akademik di seluruh dunia.

“UEC diterima universiti terkemuka seperti California Institute of Technology, Harvard University, Oxford University, University of Cambridge, University of Toronto, National University of Singapore dan University of Melbourne,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 baru-baru ini yang mengugut kaum Cina secara terbuka dengan mencadangkan idea penghapusan sekolah aliran Cina.

Ucapan Khairul Azwan dikatakan berunsur amaran kepada kaum China tentang implikasi jika mereka terus menjauhi BN.

Khairul berkata, keadaan itu mungkin menyebabkan Putrajaya didesak agar memberi kurang perhatian kepada sekolah jenis kebangsaan Cina atau menghapuskan institusi itu sepenuhnya.

Sementara itu, Leong berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan MCA sengaja enggan menerima fakta UEC diterima di negara lain dan terus mengabaikan pengiktirafan UEC demi mengangkat dasar politik perkauman diamalkan Umno BN selama ini.

Malah katanya, MCA cuba menipu komuniti Cina dengan berkata UEC akan diiktiraf tidak lama lagi sedangkan hakikat ialah sebaliknya.
“Institusi pengajian tinggi awam juga menerima ramai pelajar antarabangsa yang tidak fasih Bahasa Malaysia.

“Ini menunjukkan piawaian penerimaan masuk ke universiti berdasarkan pencapaian taraf akademik pemohon dan bukannya Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sering dijadikan alasan kerajaan Umno BN untuk menolak pengiktirafan UEC. Situasi ini ibarat anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Pakatan Harapan perlu menyenaraikan pengiktirafan UEC dalam Manifesto Bersama Pakatan Harapan PRU14 demi meraikan kepelbagaian dan kemajmukan tanah air ini.

Sistem pendidikan UEC diwujudkan Dong Jiao Zong (Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina) sejak 1975.

PAUTAN; 

Perkongsian kuasa hilang kalau Cina terus sokong DAP, kata naib ketua Pemuda

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.