
Orang ramai berpakaian jubah putih berkumpul di ibu kota itu, melaungkan bacaan dalam Al-Quran dan menyanyi lagu kebangsaan.
Lebih 20,000 anggota keselamatan dikerah mengawal demonstrasi itu bagi mengelak keganasan berulang lagi, seperti yang tercetus dalam protes terhadap Gabenor Basuki Tjahaja Purnama, sebelum ini.
Purnama atau lebih dikenali dengan panggilan Ahok, didakwa kerana menghina Al-Quran ketika kempen pilihan raya, yang mencetuskan kemarahan di negara yang majoriti beragama Islam itu.
Kes itu dilihat sebagai sebahagian ujian terhadap toleransi agama di Indonesia, di mana reputasi pluralisme semakin terhakis dengan kebangkitan serangan terhadap minoriti.
Tetapi pengkritik berkata ia juga mengenai politik kerana musuh gabenor memarakkan kemarahan rakyat untuk mengurangkan sokongan terhadapnya.
Keputusan untuk mendakwa Ahok, gabenor bukan Islam yang pertama di Jakarta dalam tempoh setengah abad itu, tidak cukup memadamkan kemarahan, malah kumpulan konservatif kini mendesak Ahok ditahan.
Penunjuk perasaan mengibarkan kain rentang “penjarakan Ahok” ketika berarak beramai-ramai di jalanan di ibu kota itu awal hari ini.
“Apa yang kami mahu ialah keadilan, dan maksud keadilan itu ialah Ahok ditahan,” kata Ricky Subagia, 26, yang datang sejauh 200km dari bandar Garut, untuk turut serta dalam demonstrasi itu.
Jurucakap polis Jakarta Raden Prabowo Argo Yuwono menganggarkan kira-kira 100,000 penunjuk perasaan berkumpul di taman itu sejak pagi tadi dan setakat ini himpunan itu berlangsung dengan aman.
Awal bulan lalu, polis mula menyiasat Ahok atas kesalahan menghina Al-Quran susulan bantahan kali pertama.
Beliau akan dibicarakan dan boleh dipenjarakan sehingga 5 tahun jika disabitkan bersalah mengikut undang-undang Indonesia.
Kontroversi itu bermula September lalu apabila gabenor itu menuduh pesaingnya membodohkan pengundinya dengan menyalahgunakan surah Al-Quran untuk memujuk pengundinya tidak menyokong Ahok dalam pilihan raya memilih gabenor.
Pesaing Ahok berkata surah berkenaan melarang Muslim memilih pemimpin bukan Islam.
Ahok kemudian meminta maaf atas kenyataannya itu, dan berkata beliau hanya mengkritik lawan politiknya yang menggunakan surah itu, bukan Al-Quran, tetapi skandal itu menyebabkan kedudukannya jatuh ke tempat kedua dalam pemilihan gabenor.
Selama ini beliau menjadi pilihan untuk memenangi pilihan raya pada Februari, susulan popularitinya yang mahu membersihkan Jakarta, kota metropolis dengan populasi 10 juta.