NGO bidas BN, PAS ghairah bela Rohingya, tetapi tindas Orang Asli

NGO bidas BN, PAS ghairah bela Rohingya, tetapi tindas Orang Asli

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia kecewa kerajaan BN dan PAS hanya ingat etnik Rohingya, tetapi lupa Orang Asli di negara sendiri yang sedang menderita.

tijah-asli
GUA MUSANG:
Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) membidas tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan PAS yang disifatkan terlalu ghairah membela nasib etnik Rohingya didakwa dizalimi tentera Myanmar, tetapi menindas masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

Pengerusi JKOASM, Tijah Yok Chopil berkata, Orang Asli pada dasarnya menyokong usaha kerajaan menganjurkan perhimpunan solidariti menyokong etnik Rohingya pada Ahad ini, tetapi mempersoalkan kerajaan kenapa mengabaikan masalah dihadapi rakyatnya sendiri.

“Saya dengar kerajaan pusat, kerajaan PAS, menteri besar, ahli Parlimen mereka akan turun ke Stadium Malawati Ahad ini untuk berhimpun menyatakan sokongan kepada Rohingya tentang apa yang dilakukan kerajaan Myanmar.

“Saya sokong apa mereka buat, tetapi kami kecewa kenapa mereka hanya ingat orang Rohingya sahaja. Kenapa mereka lupa Orang Asli di Gua Musang ini, terutamanya PAS.

“Mereka kata mereka kerajaan Islam sepatutnya mereka ambil tahu apa yang sedang berlaku,” katanya ketika ditemui FMT.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, sebuah perhimpunan besar-besaran dirancang pada 4 Disember ini bagi menzahirkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap isu Rohingya.

Selain Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti lain seperti PKR dan Amanah turut dipelawa menyertai perhimpunan itu.

Tijah turut menyifatkan dakwaan Orang Asli membantah kegiatan pembalakan di Gua Musang kerana dihasut pihak tertentu sebagai satu dosa kerana masyarakat itu mempunyai akal untuk berfikir.

“Saya melihat mereka memberi tohmahan atas tindakan Orang Asli yang menderita dihasut pihak tertentu merupakan satu penghinaan dan seolah-olah mereka menganggap Orang Asli ini bodoh.

“Sebagai orang beragama, saya menganggap tuduhan ini satu dosa. Orang Asli ini ciptaan Tuhan, mereka ada akal untuk berfikir,” katanya yang menggesa kerajaan negeri dan pusat mengadakan perbincangan bersama bagi menyelesaikan masalah dihadapi Orang Asli itu.

Sementara itu, Exco Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood menafikan kerajaan negeri pimpinan PAS ghairah membela umat Islam Rohingya sehingga mengabaikan Orang Asli.

“Untuk info, Kelantan merupakan negeri pertama yang mewartakan tanah untuk Orang Asli berbanding negeri lain. Dari sudut itu (tuduhan Kelantan abaikan Orang Asli dan mementingkan etnik Rohingya) tidak timbul.

“Baru sahaja minggu lalu, kita terima kunjungan dari semua pimpinan Orang Asli daripada penghulu yang dilantik kerajaan persekutuan, negeri, Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) dan tok batin,” katanya kepada FMT.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan itu berkata, maklumat yang ada kini bercelaru apabila ada pihak luar yang pergi ke perkampungan Orang Asli dan bertindak menghasut serta menyebarkan perkara tidak benar.

“Pelbagai kumpulan datang, masalah dari orang luar yang datang menghasut, ada unsur-unsur luar yang bagi maklumat salah kepada mereka.

“Penduduk tempatan tahu, apa yang kita lakukan adalah kita tidak sesekali hendak mengganggu mereka atau merugikan mereka, sebab itu mereka datang kepada kita,” katanya.

PAUTAN:

Zahid: Najib, Hadi hadir himpunan 4 Dis prihatin nasib Rohingya

Amanah tolak pelawaan Zahid sertai himpunan solidariti Rohingya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.