MBSA saran penguat kuasa lelaki, wanita tugas bersama elak dikasari

MBSA saran penguat kuasa lelaki, wanita tugas bersama elak dikasari

MBSA juga akan memberi latihan fizikal kepada penguat kuasanya bagi meningkatkan keyakinan mereka dalam menghadapi situasi seperti gangguan fizikal.

rosli-mbsa
SHAH ALAM:
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bercadang menempatkan penguat kuasa lelaki dalam kumpulan penguat kuasa wanita ketika menjalankan tugas di lapangan, kata timbalan setiausaha pihak berkuasa tempatan itu.

Rosli Bakar berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan insiden penguat kuasa wanita dikasari orang awam berulang.

“Kita akan pertimbangkan cadangan meletakkan penguat kuasa lelaki dalam kumpulan penguat kuasa wanita selepas ini.

“Kita anggap gangguan yang dialami penguat kuasa wanita kita sebelum ini adalah paling serius. Walaupun mereka selalu kena marah, tetapi ini melibatkan fizikal.

“Jadi, kita fikir ke arah itu untuk tingkatkan keselamatan mereka,” katanya di Dewan Renantanda MBSA, hari ini, ketika menemui 3 penguat kuasa wanita yang dikasari sepasang suami isteri di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, pada 24 November lalu.

Mahkamah Majistret Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000 kepada pasangan suami isteri itu, pada 25 November lalu, kerana didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan Nurul Ain Isa ketika menjalankan tugasnya.

Rosli berkata, MBSA juga akan menyediakan latihan fizikal kepada penguat kuasanya bagi meningkatkan keyakinan mereka dalam menghadapi situasi sedemikian.

“Walaupun sebelum pelantikan dibuat, mereka sudah diberi kursus 3 bulan, termasuk seni mempertahankan diri. Namun, kursus seperti ini perlu dibuat secara berterusan dan akan memberi latihan dalam bentuk dalaman bagi meningkatkan keyakinan diri mereka kembali,” katanya.

Rosli berkata, mangsa yang dikasari pasangan suami isteri itu, Nurul Ain masih trauma dengan kejadian itu.

“Tadi saya tanya dia, memang ada rasa trauma malam-malam, tetapi tidak teruk. Selepas insiden ada berjumpa ketiga-tiga pegawai dan sudah tingkatkan keyakinan mereka.

“Kita juga akan tukar mereka ke kawasan lain. Setakat ini, tidak ada gangguan,” katanya merujuk keadaan penguat kuasa wanita yang dikasari pasangan terbabit.

Setakat ini, katanya, pasangan suami isteri terbabit belum memohon maaf kepada penguat kuasa wanita itu.

Sementara itu, Exco Selangor, Dr Daroyah Alwi mengingatkan orang ramai tidak bertindak kasar dengan penjawat awam atau berdepan tindakan undang-undang.

“Masyarakat perlu mendidik diri supaya meletakkan kenderaan di kawasan betul. Dan sekiranya kawasan yang mereka letak kenderaan itu perlu dibayar, maka perlulah dibayar daripada mereka dikenakan kompaun.

“Daripada mereka mengasari penguat kuasa MBSA yang menjalankan tugas dan dibawa ke mahkamah, mereka juga yang rugi,” katanya selepas menemui 3 penguat kuasa wanita yang diganggu pasangan suami isteri itu.

PAUTAN:

Suami isteri dipenjara 14 hari kasari penguat kuasa MBSA

Hukuman pasangan ‘buli’ pegawai MBSA tidak setimpal, kata peguam negara

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.