
Beliau menganggap dirinya menjalani kehidupan kebaratan, tetapi semua itu berubah ketika mengikuti kursus pasca-diploma Undang-undang Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Di sinilah beliau mula mengambil serius kelas, menyediakan diri sebagai “seorang Muslim yang baik”.
Kini 40-an, Sarina (bukan nama sebenar) menceritakan bagaimana tempoh pengajian di UIA itu membuka matanya terhadap “Islam sebenar”, yang kemudian mendekatkan dirinya kepada beberapa kumpulan Islam yang mempunyai pandangan radikal.
Kisahnya terkandung dalam kajian mengenai radikalisasi di kalangan wanita Islam oleh Iman Research, sebuah badan pemikir berpusat di Kuala Lumpur.
Kajian itu antara lain mendapati bukan semua yang terpengaruh dengan dakyah militan seperti daripada kumpulan IS akan mengangkat senjata atau menyertai peperangan di Syria.
“Apa yang pasti, kesemua wanita ini termasuk yang ditemui Iman, mahukan undang-undang Syariah dan sistem khalifah Islam untuk negara mereka,” menurut Iman Research.
Polis sebelum ini mengenal pasti beberapa wanita Malaysia yang turut serta dalam pertempuran di Syria, antara ratusan rakyat Malaysia dan Indonesia yang menyertai kumpulan IS.
Malah laporan menyebut sesetengah wanita itu dijadikan hamba seks yang berkhidmat kepada pejuang IS di Syria, sekaligua mengambil peluang kejahilan mereka tentang Islam.
Bagaimanapun, tidak semua wanita yang menyokong pelampau Islam boleh dikategorikan sebagai lemah. Antaranya Sarina.
Usrah
Di UIA, Sarina menjinak-jinakkan diri dengan pelbagai aktiviti termasuk usrah, iaitu program belajar agama berkumpulan. Ia kemudian membawa kepada perkenalan dengan Kak H, isteri kepada seorang pendakwah tempatan yang juga merupakan ahli Jemaah Islamiyah (JI), kumpulan radikal berpusat di Indonesia yang dituduh menjadi dalang pelbagai serangan keganasan.
Kak H mempunyai ciri seorang wanita yang mengabdikan diri kepada suaminya, seiring dengan pemahaman agama melampau yang mengutamakan kelebihan kepada golongan lelaki, malah membenarkan dirinya didera secara fizikal oleh suaminya kerana percaya ia dibenarkan agama.
Perkenalan dengan Kak H membawanya kepada sebuah kelas usrah yang sebenarnya menjadi platform menyebarkan dakyah JI, dalam meraih simpati untuk membantu pejuangnya dari segi kewangan. Di sinilah perubahan ketara berlaku ke atas dirinya.
Tenang di Indonesia
Kini, Sarina menghilangkan diri ke Indonesia, di mana beliau merasakan lebih tenang serta bebas untuk mengekspresikan diri terhadap kepercayaan yang diperjuangkan.
Beliau kini mengajar bahasa Inggeris kepada komuniti di sana dan mengutip dana untuk membantu keluarga militan yang dipenjarakan.
Melalui kisah wanita seperti Sarina, Iman Research berkata seseorang itu tidak perlu ke Syria atau melakukan keganasan atas nama jihad, tetapi mereka mengambil alih peranan lain menyokong kumpulan seperti itu.
Mereka mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk profesional. Ada yang menjadi radikal melalui perkahwinan, persahabatan dan terdedah kepada pemikiran militan semasa belajar di universiti sebagaimana kisah Sarina.
“Wanita yang tergolong dalam kegiatan militan sebagai penyokong, aktivis militant atau penjuang bukan bersifat lemah dan jahil seperti mana digambarkan media. Ini kumpulan demografi yang tidak boleh dipandang ringan,” kata Iman Research.