Kartunis tak patut ‘serang’ pemimpin, kata KPN

Kartunis tak patut ‘serang’ pemimpin, kata KPN

Ketua polis negara berjanji kedua-dua pihak terlibat dalam peristiwa pergaduhan di Komtar akan disiasat.

police,-IGP,-Tan-Sri-Khalid-Abu-Bakar,-Zunar,-cartoons
GEORGE TOWN:
Kartunis tidak sepatutnya menimbulkan kebencian terhadap pemimpin kerajaan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, berikutan peningkatan kritikan terhadap penahanan kartunis baru-baru ini.

Khalid berkata kartunis seperti Zunar dibenarkan berjenaka tetapi ia bukan budaya orang Malaysia menghina pemimpin.

“Biar saya katakan kepada anda, jika sekumpulan kartunis memutuskan melukis kartun kepada ketua menteri Pulau Pinang, dengan ‘hidung senget’ dengan lain-lain penghinaan, adakah beliau (ketua menteri) membenarkan saya berdiam diri? Tidak!

“Zunar boleh melukis apa sahaja yang beliau mahu, selagi ia tidak menghina sesiapa. Jika kartunis lukis ‘Old McDonald’ atau ‘Donald Duck’, lukislah. Tiada siapa peduli, asalkan tidak menghina orang,” kata Khalid kepada pemberita di Universiti Sains Malaysia hari ini.

Baru-baru ini, kartunis Zunar ditahan polis untuk disiasat kerana mengganggu keamanan pada pameran lukisan di Komtar. Ia adalah penangkapan ke-10 berkaitan kartun satira beliau.

Ditanya mengenai dakwaan Malaysia menjadi bahan jenaka dunia berikutan penangkapan itu, Khalid berkata hanya ” orang tertentu” sahaja ketawa.

“Ia apa yang ada lihat, dan apa yang anda mahu orang ramai lihat. (Kartun ini) adalah ‘cara halus’ untuk menghasut kebencian terhadap pemimpin kerajaan,” katanya.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, mendakwa kira-kira 30 orang yang mengaku sebagai ahli Pemuda Umno mengganggu dan memukul beliau di pameran lukisan itu yang memaksa ia dibatalkan.

Ketua Pemuda Umno Nibong Tebal Mohd Norhiesam Ismail kemudian membuat laporan polis mengatakan lukisan Zunar mengganggu keamanan rakyat Malaysia.
Norhiesam berkata, tindakan Zunar itu tidak boleh diterima kerana menggambarkan pemimpin negara seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perspektif negatif.

Sementara itu, Khalid berkata tidak akan berlaku berat sebelah dalam siasatan itu kerana polis turut memanggil ahli Umno lain yang terlibat untuk disoal siasat.

“Sekiranya tindakan diambil ke atas Zunar, semua orang beri reaksi ‘woah!’. Ada tanggapan polis tidak mengambil tindakan terhadap perkara ini. Ini tidak benar.

“Siasatan akan dijalankan kepada kedua-dua belah pihak, sila bersabar.”

PAUTAN: 

Zunar ditangkap kerana gugat keamanan, hasutan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.