Ku Li: Tak boleh ada kekeliruan tentang Akta 355

Ku Li: Tak boleh ada kekeliruan tentang Akta 355

Veteran Umno berkata kekeliruan timbul apabila PAS terus-terusan mencanangkan isu hudud yang memberi tanggapan ia akan dilaksanakan.

kuli
KUALA LUMPUR:
Pelaksanaan cadangan pindaan Akta 355 tidak sepatutnya menyebabkan kekeliruan masyarakat kerana mana-mana perundangan yang dikuatkuasakan dalam negara perlu selari dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran Umno itu berkata beliau sendiri ingin menyaksikan undang-undang yang dibawa sepatutnya selaras dengan perlembagaan yang dipegang negara.

“Kita tidak boleh ada keadaan di mana semua orang terus keliru dan curiga,” katanya kepada wartawan ketika ditemui Perhimpunan Agung Umno 2016 di PWTC, di sini hari ini.

Tengku Razaleigh atau lebih mesra dipanggil Ku Li berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pindaan terhadap Akta 355.

Ahli Parlimen Guan Musang itu berkata isu itu juga tidak sepatutnya dijadikan kontroversi kerana Malaysia negara yang mematuhi syariah, dan boleh disokong umat Islam dan bukan Islam.

Ku Li berkata kekeliruan yang menyelubungi cadangan rang undang-undang (RUU) itu daripada PAS yang sering mengaitkannya dengan hudud memberikan tanggapan yang ia akan dilaksanakan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada 26 Mei membawa usul persendirian RUU untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1964 di Parlimen.

RUU itu meminta pindaan kepada akta berkenaan, yang turut dikenali sebagai Akta 355, untuk memperkasakan mahkamah syariah menambah hukuman seperti diperuntukkan dalam undang-undang syariah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.