AS medan wang haram antarabangsa, DoJ beri contoh kes 1MDB

AS medan wang haram antarabangsa, DoJ beri contoh kes 1MDB

Penolong peguam negara AS itu berkata ia hanya memerlukan sedikit kecanggihan bagi penjenayah menyembunyikan hasil haram mereka.

leslie
PETALING JAYA:
Kelemahan perundangan Amerika Syarikat merupakan antara faktor sektor kewangan negara itu diperalatkan penjenayah bagi melakukan transaksi wang haram, kata seorang jurucakap Jabatan Kehakiman AS (DoJ) yang turut memberikan contoh kes membabitkan 1MDB.

Penolong Peguam Negara AS, Leslie Caldwell yang bertanggungjawab bahagian jenayah DoJ, berkata permohonan menyita aset sejumlah AS$1.2 bilion membabitkan syarikat milik kerajaan Malaysia itu merupakan contoh terbaik bagaimana penjenayah bagi menyembunyikan hasil aktiviti haram mereka.

“Jurang dalam undang-undang di seluruh dunia membenarkan sesiapa sahaja yang ada kecanggihan asas untuk membuka akaun atas nama syarikat kosong dan mengelak daripada mendedahkan pemilik akaun tersebut,” kata Caldwell dalam komen disiarkan Bloomberg, menjelang sebuah persidangan antarabangsa menangani jenayah rasuah global di Panama, hari ini.

Bagaimanapun, Caldwell berkata di sebalik usaha canggih penjenayah, pihaknya menerusi kerjasama antarabangsa berjaya “mengangkat kain” yang menutupi identiti sebenar mereka yang menerima wang yang DoJ percaya dilesapkan daripada 1MDB.

“Tetapi ia proses yang memakan masa dan sumber yang banyak disebabkan pencarian dokumen dan soal siasat dengan saksi,” tambahnya.

Calwell berkata sistem kewangan AS menjadi tarikan kepada penjenayah antarabangsa, yang menjadikannya pengkalan menyembunyikan wang haram.

Menurutnya, penjenayah secara licik menyembunyikan hasil mereka tanpa dikesan pihak berkuasa.

“AS mesti menutup kelemahan yang dieksploitasi pegawai kerajaan luar negara dan lain-lain yang menyembunyikan hasil daripada aktiviti haram mereka, dan membantu pihak penguatkuasa undang-undang mencegah dan menyiasat jenayah kewangan,” katanya.

Pada 20 Julai, DoJ menerusi siasatannya mendapati lebih AS$3.5 bilion dilencongkan daripada dana 1MDB, syarikat milik Kementerian Kewangan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2009.

DoJ memfailkan saman sivil di Los Angeles untuk merampas sejumlah AS$1.2 bilion aset yang dibeli dengan dana didakwa digelapkan daripada 1MDB dan dipindahkan ke AS menggunakan syarikat kosong, dan menamakan beberapa individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.