Rohingya: Mapim, 28 NGO antarabangsa hantar bantuan kemanusiaan

Rohingya: Mapim, 28 NGO antarabangsa hantar bantuan kemanusiaan

Misi flotilla ke Myanmar bersama NGO dari 20 negara itu akan belayar pada 10 Januari tahun depan, disertai 50 sukarelawan pegawai perubatan dan aktivis kemanusiaan

mapim-rohingya
SHAH ALAM:
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama 28 badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa akan menghantar misi flotilla atau bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya di Myanmar yang sedang ditindas.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abd Hamid berkata misi Flotilla ke Myanmar bersama NGO dari 20 negara itu akan belayar pada 10 Januari tahun depan dan akan disertai kira-kira 50 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai perubatan dan aktivis kemanusiaan.

“Kini Mapim sedang berusaha mengumpul dana bagi tujuan murni ini, dianggarkan kami memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk tujuan menyewa kapal dan membeli barang-barang makanan dan keperluan lain.

“Dianggarkan kami memerlukan 3 kapal yang penuh dengan makanan dan barangan keperluan bagi tujuan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Ulama Asean dan NGO Islam mengenai nasib umat Islam Rohingya di sini hari ini.

Tambah Azmi, misi flotilla itu merupakan antara 10 pelan tindakan dan Deklarasi Shah Alam yang dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata Deklarasi Shah Alam menggariskan 11 perkara antaranya menyeru semua umat Islam seluruh dunia bersatu melindungi nyawa dan harta benda masyarakat Rohingya.

“Deklarasi ini antara lain turut menuntut campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa yang lain bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.

PM: Malaysia sendirian tak mampu selesai krisis Rohingya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.