
Khalid berkata Maria, yang sebelum ini disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau Sosma, kini masih disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman berhubung penglibatannya menganjurkan himpunan Bersih 5 pada 19 Nov.
“Di bawah prosedur Sosma, pegawai polis berpangkat superintendent ke atas, berkuasa menahan seseorang itu selama 28 hari. Tetapi apabila kita merasakan apa yang patut kita buat telah selesai, kita tak perlu tahan lebih lama lagi,” kata Khalid hari ini.
Khalid menafikan dakwaan Maria beliau tidak lagi disiasat.
“Itu tidak benar. Siasatan itu akan kami kemaskinikan dan kertas siasatan akan kita kemukakan kepada Peguam Negara dalam tempoh satu bulan.”
Maria semalam dibebaskan selepas ditahan pada 18 Nov, beberapa jam sebelum perhimpunan Bersih 5 yang turut menyaksikan penyokong Gerakan Baju Merah pimpinan Datuk Seri Jamal Yunos cuba menghalang perhimpunan itu.
Maria yang ditahan di sebuah lokasi rahsia di Kuala Lumpur selama 10 hari semalam tampil di Dataran Merdeka disambut ratusan penyokong, yang sebelum ini mengadakan protes vigil menuntut pembebasannya.
“Setiap hari saya kena soal siasat. tapi bukan soal siasat. Ia hanyalah mereka ulang soalan supaya saya akan mengakui apa yang saya tidak pernah lakukan,” kata Maria.
Maria turut menafikan tuduhan mendapat dana daripada hartawan Amerika Syarikat, George Soros bagi operasi Bersih 2.0. ”
“Bersih tidak mengambil duit Soros. Satu sen pun kita tidak pernah ambil.
“Kedua, akaun Bersih dipamerkan dalam laman web dan mereka boleh periksa,” katanya.