
Ketua polis negara berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat dan akan mengambil tindakan terhadap NGO tertentu apabila tiba masanya.
Beliau mengulas serbuan ke atas pejabat kumpulan NGO hak asasi wanita Pusat Kesedaran Komuniti (Empower) di Seksyen 4 Petaling Jaya, semalam.
“Polis serbu pejabat Empower kerana kami temui bukti menunjukkan pejabat itu terima dana daripada pertubuhan asing, seperti Open Society Foundation.
“Kalau kita ni sayangkan negara kita, kalau kita ni seorang rakyat yang mencintai negara, kita perlu berhati-hati dengan siapa kita berurusan, particularly pertubuhan dari luar,” katanya selepas menerima 10 buah motosikal Kawasaki KLX250 sumbangan Felda Global Ventures di Bukit Aman, hari ini.
Peguam Honey Tan Lay Ean yang juga ahli Empower dilaporkan berkata, NGO itu disiasat mengikut Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan kerana menjalankan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
“Ini prosedur sama digunakan polis untuk menyiasat Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah,” katanya ketika dihubungi FMT semalam.
Empower yang turut diasaskan Maria bermatlamat menggalakkan penyertaan wanita dalam proses politik.