
Nazri yang juga ahli Majlis Tertinggi parti berkata kejadian keganasan baru-baru ini tidak pernah menjadi budaya Umno kerana parti yang mempunyai 3 juta ahli itu tidak menyokong menggunakan keganasan dalam menyelesaikan masalah.
“Jika minoriti 100 orang pro keganasan, bolehkah kita kata keganasan menjadi budaya keseluruhan parti? Tak boleh.
“Bagaimana sebahagian kecil itu boleh menggambarkan sifat Umno,” katanya.
Bagaimanapun, katanya beliau yakin sikap tercemar beberapa ahli Umno itu tidak akan menjejaskan reputasi parti.
Katanya, ini kerana rakyat Malaysia cukup bijak untuk menilai sendiri parti itu.
“Jangan pandang rendah kemampuan berfikir rakyat Malaysia. Mereka tidak akan menghukum keseluruhan Umno. Saya yakin begitu,” katanya.
Nazri diminta mengulas kejadian baru-baru ini membabitkan pemimpin Umno seperti Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos dan Timbalan Menteri Pertanian dan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Minggu lalu di Parlimen, Tajuddin menggelar Ahli Parlimen Seputeh daripada DAP Teresa Kok sebagai “satu-satunya wanita yang ada Kok”.
Susulan itu, pertikaman lidah berlaku di Dewan Rakyat hingga Ahli Parlimen Shah Alam Khadli Samad berkata “menteri sial”.
Kejadian itu tidak berakhir di situ, apabila sekumpulan individu termasuk anak lelaki Tajuddin cuba menyerang Khadid di kawasan Parlimen.
Nazri berkata insiden itu berlaku kerana provokasi.
“Tidak ada sesiapa boleh cakap mereka betul. Bagi saya, Parlimen tempat yang sangat terhormat di mana kita perlu saling menghormati.
“Ahli Parlimen dipanggil ‘Yang Berhormat’,” katanya.
Beliau berkata tidak ada sesiapa lebih tinggi daripada undang-undang dan tindakan patut diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.