Tak wajar putus hubungan dengan Myanmar, kata Syed Hamid

Tak wajar putus hubungan dengan Myanmar, kata Syed Hamid

Syed Hamid berkata, Malaysia sepatutnya memanggil Duta Myanmar untuk berbincang langkah yang boleh dilakukan agar penindasan dan keganasan terhadap umat Islam Rohingya dapat dihentikan.

syed-hamid-myanmar
KUALA LUMPUR:
Cadangan sesetengah pihak supaya Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar sebagai tanda menentang kezaliman terhadap umat Islam Rohingya di negara itu adalah tindakan tidak wajar ketika ini.

Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Syed Albar berkata, Malaysia sepatutnya memanggil Duta Myanmar untuk berbincang langkah yang boleh dilakukan agar penindasan dan keganasan terhadap umat Islam Rohingya dapat dihentikan.

“Saya tidak anggap jalan penyelesaiannya adalah dengan memutuskan hubungan diplomatik. Kita mahu pintu rundingan sentiasa dibuka dan perlukan hubungan diplomatik ini untuk menyelesaikan masalah ini melalui perbincangan dan dialog.

“Tetapi pada masa sama, kita perlu juga membuat desakan ke atas Kerajaan Myanmar untuk menghentikan keganasan terhadap umat Islam Rohingya. Ini bukan mengikut agama Buddha pun untuk menganiaya mereka yang tidak bersalah dan tidak ada perikemanusiaan langsung,” kata bekas menteri luar itu ketika
dihubungi Bernama hari ini.

Berikutan itu, katanya, satu mesyuarat khas peringkat Asean perlu diadakan bagi mendapatkan laporan dan penjelasan kerajaan Myanmar berhubung keganasan itu yang disifatkannya sebagai jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Syed Hamid berkata, serangan tentera Myanmar ke atas perkampungan masyarakat Rohingya di Rakhine sejak 12 November lalu menyebabkan kematian 428 orang, selain 1,780 rumah dibakar dan 35,000 orang menjadi pelarian.

Menurutnya, kerajaan Myanmar di bawah kepimpinan pemenang Anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi perlu menghentikan keganasan tenteranya yang membangkitkan kemarahan masyarakat dunia, lebih-lebih lagi negara itu sedang menuju ke arah demokrasi.

“Kebencian (terhadap umat Islam Rohingya) sama seperti yang berlaku di Rwanda dan ini perlu diambil tindakan segera. Malaysia dan negara-negara OIC di dalam Asean perlu bertindak secara bersepadu untuk menyelesaikan masalah ini.

“Kita bukannya hendak campur tangan. Tapi jika kita senyap dan biarkan ia berlarutan, itu bukanlah jawapannya. Kita kena bertindak bersama-sama,” katanya.

Ditanya jika negara Asean perlu membuka pintu dan menerima kemasukan pelarian Rohingya, beliau berkata, langkah itu mesti dilakukan sebagai perlindungan sementara kepada mereka.

“Bagaimanapun, ia adalah tanggungjawab kerajaan Myanmar kerana mereka punca kepada permasalahan ini. Kita akan campur tangan bila berlakunya pencabulan ke atas hak-hak kemanusiaan…takkan kita nak berdiam diri dan kata ini adalah masalah Myanmar?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.