Elak fahaman komunis, jadikan Sejarah subjek wajib UPSR, kata persatuan penulis

Elak fahaman komunis, jadikan Sejarah subjek wajib UPSR, kata persatuan penulis

Pengajaran dan pembelajaran pada peringkat awal dapat memastikan pelajar mengenali sejarah tanah air mudah dipesongkan pemikiran apabila dewasa.

Amiruddin
PETALING JAYA:
Subjek sejarah perlu dijadikan mata pelajaran wajib dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) agar pemikiran generasi baru tidak terpesong dan beranggapan Parti Komunis Malaya (PKM) pihak memperjuangkan kemerdekaan, kata persatuan penulis.

Presiden Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali berkata pengajaran dan pembelajaran pada peringkat awal dapat memastikan pelajar mengenali sejarah tanah air dan tidak mudah dipesongkan pemikiran apabila dewasa.

“PPJ berharap mata pelajaran Sejarah dijadikan mata pelajaran wajib dalam UPSR seperti yang pernah diperkenalkan semasa peperiksaan Penilaian Darjah 5 suatu ketika dulu.

“Kita perlu menolak dakwaan PKM sebagai sebahagian daripada gerakan yang berjuang menuntut kemerdekaan kerana bagaimana sebuah parti yang diasaskan di luar negara boleh dikatakan menuntut kemerdekaan?” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Amiruddin berkata demikian bagi mengulas isu penerbitan buku berkaitan komunis di negara ini yang dikaitkan dengan penguatkuasaan lemah dan sikap masyarakat yang tidak mengambil endah terhadap bahaya ideologi.

Sementara itu, Prsiden Persatuan Karyawan Sarawak (Pekasa), Jaafar Hamdan meminta Kementerian Dalam Negeri lebih serius meneliti penerbitan buku ideologi komunis dan menyekatnya.

Bagaimanapun, nada berbeza disuarakan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Dr Mohamad Saleeh Rahamad yang mahu pengecualian diberikan dalam konteks akademik selagi tidak melanggar undang-undang.

Sebelum ini, 4 peserta Malaysia pada Pesta Buku Antarabangsa di Indonesia ditahan polis negara ekoran salah faham mengenai tajuk buku “Manifesto Komunis” yang mempunyai lambang komunis iaitu tukul dan sabit.

Polis merampas buku kerana lambang tukul dan sabit yang disebut “palu arit” diharamkan di Indonesia.

Indonesia adalah negara yang mengharamkan semua lambang, risalah atau buku yang berunsur propaganda dan simbol ideologi komunis.

Malah pihak berkuasa negara itu juga pernah menahan pelancong asing yang mengenakan pakaian mempunyai lambang “palu arit”.

PAUTAN:

4 rakyat Malaysia ditahan polis Indonesia kerana simbol tukul dan sabit

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.