Amanah: Taklimat RUU 355 seperti Melayu berkomplot terhadap bukan Islam

Amanah: Taklimat RUU 355 seperti Melayu berkomplot terhadap bukan Islam

Khalid berkata, taklimat khas oleh timbalan perdana menteri itu sepatutnya diberikan kepada wakil rakyat bukan Islam juga bagi mengelakkan kekeliruan timbul.

Khalid-Abdul-Samad-zahid-hamidi
PETALING JAYA:
Taklimat khas untuk semua ahli Parlimen beragama Islam berhubung usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) memberi gambaran seolah-olah orang Melayu berkomplot terhadap wakil rakyat bukan Islam, kata Amanah.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, taklimat khas oleh timbalan perdana menteri itu sepatutnya diberikan kepada wakil rakyat bukan Islam juga bagi mengelakkan kekeliruan timbul.

“Ia memberi gambaran seolah-olah orang Melayu Islam berkomplot terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu dan ini akan menyebabkan salah faham dan syak wasangka berterusan.

“Jika kita mengakui terdapat banyak salah faham di kalangan bukan Islam, mengapa ahli Parlimen bukan Islam tidak dijemput?” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga ketua whip Barisan Nasional (BN) mengadakan taklimat khas berkaitan RUU 355 kepada semua ahli Parlimen beragama Islam di Parlimen, semalam.

Zahid berkata, RUU itu akan tetap dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat, minggu ini oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kerajaan juga akan mencadangkan supaya Jawatankuasa Pemilihan dibentuk untuk melibatkan ahli Parlimen beragama Islam dan bukan Islam,” katanya semalam.

Khalid berkata, Amanah mengesyaki ada perkara tidak kena dengan taklimat khas itu berhubung usul RUU 355 yang akan dibentangkan di Parlimen, minggu ini.

Ini kerana, kata ahli Parlimen Shah Alam itu, tindakan Zahid memberi gambaran jelas PAS dan BN mempunyai hubungan erat yang membolehkan usul persendirian Hadi dibentangkan.

“Ia adalah rang undang-undang persendirian ahli Parlimen Marang, jika timbalan perdana menteri mahu membuat penjelasan mengenai RUU 355, usul tersebut sepatutnya dibawa sendiri pihak kerajaan.

“Ini membuktikan terdapat kerjasama erat antara PAS dan kerajaan. Perkara ini juga memberi gambaran ada udang di sebalik batu serta wujudnya mainan politik,” katanya.

Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yakin wakil rakyat bukan Islam akan menyokong usul itu.

“Di kalangan parti komponen, MCA, Gerakan, MIC, parti-parti dari Sarawak dan Sabah bersetuju dengan RUU 355. Ini satu perkembangan baik bila MCA dan juga parti dari Sabah dan Sarawak (yang sebelum ini) agak lantang menghalang pembentangan RUU 355 (akhirnya sokong), saya sangat gembira, ini satu perkembangan baik,” katanya berdasarkan maklumat daripada sumbernya.

PAUTAN:

Akta RUU 355 dibentangkan minggu ini, kata TPM

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.