
Kairos Dialogue Network baru-baru ini menganjurkan sesi perbincangan pendakwah Wan Ji Wan Hussin.
Pengarah kumpulan itu, Eugene Yap berkata ia bertujuan memahami 2 isu, iaitu berkenaan Syariah secara umum dan usaha PAS untuk meminda had hukuman Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang dibentangkan sebagai rang undang-undang tahun ini.
Katanya, antara aspek yang dibincangkan adalah pelbagai tafsiran mengenai hudud menurut ulama.
“Misalnya, soal hukuman bagi pencuri. Pandangan majoriti berkata jika semua syarat dipatuhi, hukuman bagi kesalahan mencuri adalah potong tangan. Tetapi Wan Ji turut memetik tafsiran ulama yang mengatakan hukuman tidak semestinya begitu,” kata Eugene kepada FMT.
“Amat mencerahkan untuk belajar dan memahami pelbagai tafsiran syariah, bukan satu sahaja. Tafsiran ini datang daripada pelbagai sumber dan ulama, yang terhasil daripada perkembangan Islam selama ratusan tahun.”.
Rang undang-undang yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, antara lain ingin memasukkan seksyen baru membenarkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat kecuali hukuman mati.
Langkah itu kerap dilihat sebagai permulaan kepada matlamat PAS melaksanakan undang-undang jenayah Islam atau hudud di Kelantan.
Eugene berkata, kumpulannya mendapati tafsiran PAS hanyalah satu daripada banyak tafsiran dalam Islam.
Beliau tidak menolak untuk meneroka peluang mengadakan sesi sama dengan pakar daripada PAS sendiri berhubung isu kontroversi itu.
Sebelum ini, pemimpin PAS pernah mengadakan dialog dengan masyarakat bukan Islam mengenai rang undang-undang Hadi itu.
Bagaimanapun, September lepas, pertemuan pimpinan tertinggi PAS dengan Persekutuan Persatuan Hokkien berakhir dengan tiada kesepakatan, dan dilaporkan persatuan itu tidak berpuas hati dengan penerangan yang diberikan dan akan meneruskan bantahan terhadap usaha PAS.

Tafsiran PAS
Kairos Dialogue Network mengadakan pertemuannya dengan Wan Ji pada 16 November, dan turut disertai Ketua Biskop Kuala Lumpur, Julian Leow.
Bagi Wan Ji, dialog seumpama itu dapat menghilangkan prejudis antara umat Islam dan bukan Islam di Malaysia.
“Saya mengulas tentang Islam dan tafsiran terhadap Islam, serta syariah dan tafsiran terhadap syariah. Misalnya Enakmen Jenayah Syariah Kelantan sudah dipinda 2 kali iaitu 1993 dan 2015, maknanya ia adalah tafsiran ulama PAS,” kata bekas ahli Dewan Ulama PAS Selangor itu.
Wan Ji yang kini mengetuai Biro Agama Pemuda PKR berkata Kairos Dialogue Network memberikan reaksi positif sepanjang perbincangan itu.
“Mereka juga menyambut baik cadangan saya untuk mengadakan lawatan ke rumah ibadat, dengan umat Islam dan bukan Islam saling membuat kunjungan ke rumah ibadat masing-masing. Agenda kami adalah menghilangkan prejudis antara satu sama lain,” katanya lagi.
Eugene berkata antara kebimbangan masyarakat Kristian ialah kes di melibatkan peribumi di Sabah dan Sarawak yang didaftarkan sebagai Islam tetapi mengamalkan Kristian sepanjang hidup mereka.
“Mahkamah sivil mungkin tidak menerima kes mereka kerana kad pengenalan mereka tertulis Islam.
“Dan jika mereka ke Mahkamah Syariah, apakah yang akan berlaku?” katanya, sambil membangkitkan kes perebutan anak Indira Gandhi dan Muhammad Riduan Abdullah yang menyaksikan pertembungan antara sistem syariah dan sivil di Malaysia.