Dr Mahathir malu dengan Ibrahim Ali, sindir Jamal ‘busuk’

Dr Mahathir malu dengan Ibrahim Ali, sindir Jamal ‘busuk’

Dr Mahathir yang merupakan penaung Perkasa turut menasihati presidennya supaya tidak meletakkan calon bebas pada PRU bagi memastikan satu lawan satu menentang BN.

Ibrahim Ali
PUTRAJAYA:
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyindir Datuk Seri Jamal Yunos sambil melancarkan serangan ke atas sekutu kuatnya, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Bekas perdana menteri itu ditanya mengenai rancangan Jamal untuk mengadakan apa yang digelar sebagai “Bersih 7” di Shah Alam esok, bagi membantah pentadbiran kerajaan Selangor.

“Jamal mahu mengadakan Bersih 7? Bersih dah cukup bersih. Mereka mengutip semua sampah. Yang kotor adalah Jamal,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan menahan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Sabtu lalu, peserta Baju Merah yang berkumpul di Padang Merbok di ibukota dilihat meninggalkan timbunan sampah sarap. Ia berlawanan dengan petugas Bersih 2.0 yang giat mengutip sampah selepas perhimpunan Bersih 5.

Jamal dibebaskan pagi tadi selepas 4 hari direman, dan memberitahu wartawan beliau tidak mandi selama berada dalam lokap.

“Kalau dia mandi 15 kali sehari pun, tetap busuk,” kata Dr Mahathir.

Malu dengan Ibrahim Ali

Dr Mahathir turut berkata beliau berasa malu dengan kenyataan Ibrahim pada Ahad lalu yang menyatakan kesediaan Perkasa meletakkan 50 calon bebas pada pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir berkata Ibrahim hanya mahu membantu Datuk Seri Najib Razak kerana sedar perlawanan satu lawan satu boleh menafikan kemenangan kepada Barisan Nasional.

“Dia sanggup bekerja dengan seorang yang mencuri dana awam. Saya rasa penyokong dia sedar, dia tidak boleh hidup tanpa perhatian.”

Ibrahim sebelum ini berkata beliau tidak senang dengan DAP.

“Saya menentang DAP bukan kerana DAP dipimpin oleh keturunan Cina. Saya menentang DAP kerana sikap, pendirian dan karenah DAP yang perkauman,” kata Ibrahim.

Bagaimanapun, Dr Mahathir, yang merupakan penaung Perkasa, berkata beliau “malu” dengan kenyataan itu.

“Dia kawan kita tetapi tidak mahu sertai Bersatu kerana DAP jahat. Tetapi sokong MCA yang lebih teruk,” katanya merujuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusikannya.

“Dulu dia kawan saya, dan menyokong apa-apa tindakan saya. Tetapi bila menyentuh kepentingan dia… bila saya dilantik penasihat Perkasa, dia kata dia sayang saya, peluk saya dan sebagainya, tetapi dia tidak boleh bekerjasama dengan DAP.

“Sebagai penasihat Perkasa, saya nasihati dia, berhenti sokong Najib,” kata Dr Mahathir.

PAUTAN:

Ibrahim Ali: Perkasa anti-DAP, bukan anti-Cina

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.