Pos Malaysia lancar koleksi setem rai kepelbagaian agama

Pos Malaysia lancar koleksi setem rai kepelbagaian agama

5 imej rumah ibadat ialah Masjid Kapitan Keling, Gereja St Francis Xavier, Tokong Tong Perak, Kuil Sri Kandaswamy Kovil dan Gurdwara Sahib Shapha.

Datuk-Azlan-Shahrim
GEORGE TOWN:
Pos Malaysia Berhad hari ini melancarkan koleksi setem siri “Rumah Ibadat” menampilkan rumah ibadat terkenal bagi melambangkan kepelbagaian agama di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Postal dan Kurier Pos Malaysia Berhad, Datuk Azlan Shahrim berkata koleksi setem berkenaan memaparkan 5 imej rumah ibadat iaitu Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang, Gereja St Francis Xavier (Melaka), Tokong Tong Perak (Perak) serta Kuil Sri Kandaswamy Kovil dan Gurdwara Sahib Shapha, kedua-duanya di Kuala Lumpur.

“Kami menyasarkan jualan sebanyak 40,000 set pada hari pertama jualan dan biasanya ia memang habis dijual,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran koleksi setem itu di perkarangan Masjid Kapitan Keling di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Menurut Azlan, sebanyak 150,000 keping setem bagi setiap imej rumah ibadat dikeluarkan dan didatangkan dalam denominasi 60 sen setiap satu.

Azlan berkata Sampul Surat Hari Pertama (FDC) termasuk risalah percuma dijual pada harga 55 sen setiap satu, dan folder dijual pada harga RM6.35 setiap satu, manakala set lengkap setem berkenaan dijual pada harga RM73.65 setiap satu.

Sementara itu, Jailani berkata melalui setem, masyarakat dapat mempelajari sejarah sesuatu tempat, kepelbagaian budaya masyarakat majmuk, selain dijadikan sebagai satu daripada sumber pendapatan tambahan bagi para pengumpul setem.

“Penghasilan koleksi siri setem ini amat bertepatan kerana negara ini mempunyai adunan kepelbagaian dari segi agama, kepercayaan dan etnik.

“Wajar bagi kita untuk memperkenalkan budaya kita kepada masyarakat umum dan luar, selain generasi muda tentang nilai budaya dan bangsa melalui peradaban, nilai moral serta agamanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.