Jumlah banduan di penjara terlebih had, kata KDN

Jumlah banduan di penjara terlebih had, kata KDN

Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini berkata sehingga 4 Oktober 2016, jumlah banduan yang berada di penjara 51,602 orang.

penjara
KUALA LUMPUR: Jumlah banduan di penjara seluruh Malaysia melebihi 6,292 orang daripada kapasiti yang mampu ditampung Jabatan Penjara iaitu seramai 45,310 orang.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini berkata sehingga 4 Oktober 2016, jumlah banduan yang berada di penjara 51,602 orang.

Menurut kementerian, antara tindakan diambil Jabatan Penjara bagi menangani situasi itu ialah memindahkan banduan dari penjara sesak ke penjara tidak sesak serta mengubahsuai penjara sedia ada bagi menampung kapasiti banduan yang semakin meningkat.

Kementerian itu menjawab pertanyaan N Surendran (PKR-Padang Serai) berhubung jumlah terkini banduan dalam penjara di seluruh negara.

Kementerian itu berkata Jabatan Penjara turut menggiatkan pelaksanaan Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib dan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan yang melibatkan 38,391 banduan menjalani pemulihan di luar penjara.

“Keberkesanan pemulihan dan latihan bagi mengurangkan kemasukan semula banduan ke penjara selepas dibebaskan juga dipertingkatkan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.