
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu juga tidak perlu memohon maaf kepada Teresa kerana beliau tidak berniat jahat, sebaliknya kenyataan itu hanya merujuk kepada nama keluarga ahli Parlimen DAP itu.
“Saya rasa tiada isu perlu diperbesarkan di sini kerana apa yang dimaksudkan Tajuddin ialah panggilan atas nama (Teresa Kok) dan tidak mempunyai maksud lain.
“Malah, Tajuddin juga tidak perlu membuat penjelasan kepada umum berhubung kenyataan itu kerana nama YB Teresa ialah Teresa Kok dan tidak timbul isu permohonan maaf sebab Tajuddin tiada niat jahat pun,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekecohan di Dewan Rakyat pagi tadi selepas Tajuddin dikatakan membuat sindiran berbaur seksual kepada Teresa.
“Satu-satunya wanita yang ada Kok ialah Seputeh,” kata Tajudin merujuk nama keluarga naib pengerusi kebangsaan DAP itu, ketika wakil rakyat sedang membahaskan mengenai perhimpunan Bersih 5.
Kenyataannya itu menimbulkan kekecohan, dengan Teresa menyelarnya sebagai “tidak bertamadun” manakala M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) mendesak Tajuddin menarik balik kenyataan itu atau berdepan tindakan.
Keadaan bertambah panas apabila Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) menyifatkan kenyataan Tajuddin tidak berakhlak dan “sial”.