
Diminta mengulas perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur semalam, perdana menteri berkata, tindakan untuk menumbangkan kerajaan cara sedemikian tidak sah dari segi perlembagaan dan undang-undang.
“Kita sebagai rakyat Malaysia mestilah menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. Kalau tidak, negara kita jadi negara huru-hara, rakyat yang menderita,” katanya kepada wartawan Malaysia membuat liputan sempena penyertaan beliau pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), pada Sabtu.
Mengulas kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di perhimpunan Bersih 5, Najib berkata, ia menunjukkan bekas perdana menteri itu akan melakukan perkara yang berbeza dengan apa dilakukannya ketika menjadi perdana menteri.
Beliau berkata, apa yang disuarakan Dr Mahathir mengenai kedudukan ekonomi negara adalah cakap-cakap politik tanpa disokong fakta serta agensi penarafan dan badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Dunia (IMF) atau Bank Dunia.
“Jika kita ada krisis ekonomi sudah tentu agensi penarafan akan turunkan rating. IMF dan Bank Dunia akan tegur dan bincang langkah yang perlu dilakukan kerajaan,” katanya.
Beliau menegaskan, tiada tindakan diambil agensi antarabangsa itu membuktikan urus tadbir negara berjalan dengan baik.
“Tiada sebab mengapa kita rasa cemas,” katanya.
Najib berkata, kerajaan akan terus fokus kepada pentadbiran bagi memastikan setiap program yang dirancang sampai kepada rakyat.