
“Saya perlu tegaskan disini, anti-DAP bukannya anti-Cina. Saya menentang DAP bukan kerana DAP dipimpin oleh keturunan Cina. Saya menentang DAP kerana sikap, pendirian dan karenah DAP yang cuvanis,” katanya dalam ucaptama Persidangan Agung Tahunan ke-7 Perkasa di Stadium Titiwangsa.
“Saya hormati keturunan Cina kerana mereka rakyat Malaysia yang sah, kerana mereka memiliki hak-hak yang sah dalam perlembagaan persekutuan. Saya tidak pernah anti-Cina,” katanya, dan menambah beliau mempunyai ramai rakan niaga berbangsa Cina.
Beliau berkata masyarakat Cina harus sedar permainan politik DAP menjadi penghalang kepada proses perpaduan nasional.
Ibrahim berkata sebab lain Perkasa menolak DAP kerana parti itu menolak cadangan pindaan untuk memperkasa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.
Katanya, DAP seolah-olah memberi gambaran parti itu berhak menentukan perjalanan hal ehwal orang Islam di negara ini.
“Tapi bila ada keturunan Cina mempersoalkan azan yang kuat di masjid atau surau, umat Islam membuat laporan polis mengenainya. DAP dan yang senada dengannya hanya berpeluk tubuh dan diam seribu bahasa,” katanya.
DAP lantang menentang cadangan pindaan bidang kuasa mahkamah syariah yang diusulkan melalui rang undang-undang peribadi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat.