Ambiga ikrar guna semua cara bebaskan Maria

Ambiga ikrar guna semua cara bebaskan Maria

Ambiga berkata, penahanan Maria di bawah Sosma tidak boleh diterima.

Ambiga_maria-chin_600
PETALING JAYA:
Satu permohonan habeas corpus akan difailkan untuk membebaskan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Pengkritik kerajaan berkata, penggunaan Sosma tidak wajar kerana undang-undang itu sepatutnya digunakan untuk menentang keganasan.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenevasan berkata, penahanan Maria di bawah Sosma tidak boleh diterima.

Bercakap di hadapan peserta perhimpunan Bersih 5 di luar Pusat Beli-belah KLCC petang semalam, beliau berkata, writ habeas corpus akan difailkan.

“Kami akan melakukan semua yang boleh dalam kuasa kita untuk memastikan beliau keluar tidak lama lagi,” katanya yang dipetik Malaysiakini.

Maria dan urus setia Bersih, Mandeep Singh ditahan petang Jumaat lalu ketika pejabat Bersih di Petaling Jaya diserbu.

Maria disiasat di bawah Sosma, manakala Mandeep disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 511 kanun itu terhadap tindakan yang boleh dihukum dengan penjara.

Secara keseluruhan, 10 komputer riba (termasuk pengecas), pemacu pen, cakera keras, fail gaji, penyata bank dan dokumen berkaitan dengan Yayasan 18 Mei dirampas.

Bersih disiasat di bawah Kanun Keseksaan berhubung “aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen” selepas laporan media mengenai kebocoran dokumen Amerika Syarikat menyatakan kumpulan reformasi pilihan raya itu menerima dana Open Society Foundation (OSF) dikaitkan dengan jutawan, George Soros.

Peguam terkejut Maria ditahan di bawah Sosma

Zahid: Siasat dakwaan Soros biaya Bersih

Bersih 2.0: Tiada undang-undang larang terima dana asing

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.