
Muhammad Fathi Yusof, seorang pakar perlembagaan di Universiti Teknologi Malaysia, menjelaskan Sosma merupakan mekanisme bagi menghadapi beberapa ‘kelompongan undang-undang’ terutama dalam menangani kes jenayah bersifat berbahaya tetapi sukar dibuktikan.
“Misalnya jenayah melibatkan keganasan atau jenayah pemerdagangan manusia dan seumpamanya yang mana kadang-kadang terdapat tanda-tanda jelas bahawa pihak tertentu terlibat tetapi oleh kerana faktor bentuk jenayah demikian sukar dibuktikan maka perlu satu mekanisma penahanan lebih lama bagi membolehkan bukti diperlukan, dapat dikumpulkan dalam tempoh yang munasabah,” katanya kepada FMT.
Fathi berpandangan keselamatan merupakan satu isu penting dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang bangsa dan agama, dan undang-undang seperti Sosma penting untuk mengekang ‘perkara melampaui batas’.
Beliau bagaimanapun menegaskan undang-undang itu tidak boleh digunakan bagi tujuan politik, maka penambahbaikan wajar dipertimbangkan bagi mengelak Sosma digunakan dengan cara tidak betul.
“Kemahiran perlu dimiliki pihak berkuasa khususnya polis dalam mengendalikan kes berunsur keganasan,” katanya.
Mizan Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia berkata Sosma telah melalui proses penambahbaikan yang jauh lebih baik berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.
Beliau menyeru golongan yang tidak bersetuju dengan Sosma agar bersama menambah baik undang-undang itu, misalnya berkenaan penahanan sehingga 28 hari.
“Kita perlu mengelak perkara tidak diingini berlaku. Kita tidak boleh menunggu sesuatu perkara berlaku baru kita nak bertindak, sebab itu tindakan pencegahan perlu dilakukan segera untuk elak kerosakan lebih teruk,” katanya, mengambil contoh ancaman pengganas.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, pada satu sidang media 7 Dis lalu, bersama ahli keluarga tahanan Sosma yang ditangkap atas syak terlibat dalam jenayah terancang, menggesa kerajaan menggantung undang-undang itu sehingga ia dipinda, bagi mengelakkan salah guna.
Beliau mengkritik penangkapan seorang lelaki di bawah Sosma selepas tiga mahkamah menolak permohonan reman polis, menyifatkan ia ‘contoh jelas penyalahgunaan undang-undang’.
Wakil rakyat DAP itu berkata pemansuhan Sosma sepatutnya menjadi matlamat akhir, keutamaan sekarang ialah menggantung pelaksanaannya serta-merta.
Sosma mula dikuatkuasakan pada 2012 semasa pentadbiran Najib Razak, selepas ISA dimansuhkan pada tahun yang sama.
Seksyen 4(5) Sosma membenarkan polis menahan suspek sehingga 28 hari tanpa perintah reman mahkamah, sekali gus mengelakkan pemantauan biasa oleh mahkamah.