
Najib berkata sebagai pihak yang kalah dalam pilihan raya, pembangkang berhak mengkritik kerajaan tetapi hendaklah menggunakan saluran yang betul.
“Namun di Malaysia, keadaan berbeza. Parti pembangkang di negara ini mempergunakan sebuah NGO yang kononnya tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan memerangi rasuah, untuk menekan kerajaan melalui perhimpunan,” katanya.
Najib berkata demikian dalam ucapan bertajuk “Sandiwara Perhimpunan Pembangkang” yang dimuat naik di laman www.najibrazak.com hari ini.
Beliau berkata rakyat sedia maklum NGO itu sebenarnya merupakan boneka pembangkang, memandangkan hampir kesemua perhimpunan yang dibuat dan akan diadakan diketuai pemimpin pembangkang.
“Pada perhimpunan ke-2, mereka mengganas di Kuala Lumpur hingga menterbalikkan kereta polis. Perhimpunan ke-3 pula, mereka mendengar arahan ketuanya merempuh halangan polis sehingga menimbulkan kekecohan.
“Pada edisi ke-4 pula, mereka bersorak untuk menjatuhkan parti pemerintah, tetapi memanggil diri mereka non-partisan. Akhir sekali pada perhimpunan kali ke-5 ini pula, mereka menjunjung pemimpin pembangkang yang sudah didakwa melakukan rasuah, padahal mereka kata mahu memerangi rasuah.
“Tidakkah sudah terang lagi bersuluh, perjuangan mereka adalah palsu dan perhimpunan ini hanyalah gerakan parti pembangkang yang berselindung sebagai NGO non-partisan untuk menentang kerajaan yang dipilih rakyat?,” kata Najib.
Menurut perdana menteri, majoriti rakyat sudah lali dengan taktik yang digunakan pembangkang, dan mereka hanya mahukan khidmat bakti daripada kerajaan.
“Itulah yang saya dan pasukan saya akan terus lakukan,” katanya.