Duta China: Lawatan Najib demi manfaat rakyat, bukan jual negara

Duta China: Lawatan Najib demi manfaat rakyat, bukan jual negara

Huang berkata, kerjasama Malaysia-China berasaskan dasar kesaksamaan, menang-menang dan manfaat bersama.

Huang-Huikang
PETALING JAYA: Duta besar China ke Malaysia menepis dakwaan lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Beijing 2 minggu lalu untuk menjual negara, sebaliknya China tidak akan menceroboh kedaulatan dan tanah negara ini.

Huang Huikang yang dipetik Sin Chew Daily berkata, kerjasama Malaysia-China berasaskan dasar kesaksamaan, menang-menang dan manfaat bersama.

Beliau berkata, hasil perjanjian yang dimeterai ketika lawatan rasmi 6 hari Najib ke China bermula 31 Oktober lalu, amat besar dan ia adalah perkara baik yang bakal memanfaatkan rakyat.

“Kerjasama China-Malaysia tidak menjejaskan kedaulatan, kuasa atau wilayah mana-mana pihak. Jadi, saya tidak faham kenapa hasil yang begitu baik boleh dikritik,” katanya.

Beliau memberi 3 contoh pelaburan Malaysia-China, iaitu presiden China bersetuju tidak menetapkan had terhadap pengimportan minyak sawit dari Malaysia, sarang burung walet dan pelaburan tunggal terbesar sebanyak RM55 bilion bagi membangunkan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Katanya, pemimpin kedua-dua negara dalam perbincangan berulang kali menegaskan China-Malaysia adalah kawan sebenar dan hubungan dua hala berada di tempoh terbaik dalam sejarah dan mendahului negara Asean lain.

“Saling percaya dan hormat-menghormati adalah asas kukuh hubungan serta kerjasama China-Malaysia,” katanya sambil menambah soal negara kuat dan besar membuli negara kecil atau hanya satu pihak mendapat kebaikan langsung tidak wujud.

Pada 6 November lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dilaporkan berkata, walaupun ada yang menuduh Najib “menjual” Malaysia kepada China, pembangkang tidak berani mengkritik perdana menteri secara terbuka dan agresif kerana bimbang terhadap tindak balas komuniti Cina.

Sementara itu, Huang berkata, ECRL dibina di tanah Malaysia, jadi ia adalah harta negara ini sepenuhnya.

Katanya, China berminat membina ECRL bersama Malaysia berdasarkan hubungan baik kedua-dua negara.

“Kerajaan Malaysia sudah merancang pembinaan landasan ini lebih 10 tahun, tetapi sehingga kini ia tidak dilaksanakan kerana kekurangan modal dan ia adalah sejumlah besar wang.

“Syarikat China datang bukan kerana keuntungan. Kami menyertai projek ini sebagai rakan kongsi ikhlas, saling bantu dan boleh dipercayai.”

Beliau turut menolak dakwaan ahli parlimen pembangkang kononnya kos pembinaan ECRL terlalu tinggi, sebaliknya syarikat China mengemukakan jumlah itu berdasarkan siasatan saintifik, penilaian dan piawaian antarabangsa.

Pembangkang risau lawatan ke China pengaruhi undi ‘atas pagar’, kata menteri

Syarikat Malaysia, China meterai 14 perjanjian bernilai RM114 bilion

Malaysia-China menterai perjanjian projek ECRL esok

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.