
Namun beliau berkata tiada keperluan untuknya berbuat demikian pada masa ini kerana tidak memegang apa-apa jawatan awam.
“Saya setuju dengan cadangan isytihar harta, tetapi apa keperluannya? Saya bukan penjawat awam. Tetapi saya bersedia melakukannya jika ada arahan parti untuk jernihkan kerajaan.
“Saya juga sudah sediakan peguam untuk itu. Saya juga akan isytihar harta jika terpilih sebagai calon dalam pilihan raya akan datang,” katanya pada sidang media di pejabat PKR Parlimen Ampang hari ini.
Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos baru-baru ini membawa wartawan menaiki helikopter meninjau sebuah rumah banglo dan beberapa kereta mewah milik Adam.
Satu laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dibuat Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo.
Susulan itu, beberapa pihak termasuk Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan Pemuda Amanah menggesa beliau mengisytiharkan harta. Sebaliknya, Timbalan Ketua AMK, Afif Bahardin dan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkata Adam tidak perlu berbuat demikian.
Adam menegaskan tidak pernah mendapat apa-apa peruntukan mahu pun projek daripada kerajaan negeri selaku Ketua Pemuda PKR Ampang.
“Saya bukan proksi (menteri besar) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Zuraida. Kenapa semua yang berlaku di Selangor perlu dikaitkan dengan Azmin?
“Adakah semua yang sertai politik hanya kerana mahu dapat projek? Projek apa yang saya dapat, diberikan atas syarikat dengan nama saya daripada kerajaan negeri,” katanya, dan berkata tujuannya menyertai PKR adalah kerana menyokong “agenda reformasi”.
Adam bagaimanapun masih enggan tidak menjelaskan perniagaan yang diusahakannya dengan alasan ia adalah perkara peribadi dan mampu menjejaskan perniagaannya.
Adam berkata akan memfailkan saman terhadap Jamal dan Ismail.
“Saya akan saman mereka selepas selesai semua siasatan,” katanya lagi.