Rompin mahu pusat beli-belah tutup 8.00 malam

Rompin mahu pusat beli-belah tutup 8.00 malam

Ahli Parlimen Umno mahu ubah gaya hidup masyarakat yang suka merayau di pusat beli belah

kok-hassan
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Umno menggesa kerajaan supaya menghentikan operasi semua pusat beli-belah setakat jam 8.00 malam.

Hasan Arifin (BN-Rompin) berkata langkah itu akan memastikan orang ramai meluangkan masa bersama keluarga di rumah.

Beliau mendakwa orang asing terkejut pusat beli-belah di negara ini dibuka sehingga 10 malam.

“Kalau kita ke negara Barat, pusat beli-belah ditutup pada jam 7.00 malam,” katanya semasa membahaskan Bajet 2017 tentang Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini.

Hasan menambah langkah itu juga akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Menjawab gesaan itu, Teresa Kok (DAP-Seputeh) berkata sesetengah rakyat Malaysia makan malam di pusat beli-belah selepas waktu bekerja.

“Siapa yang pergi pusat beli-belah semasa waktu bekerja? Cadangan ini lebih menjejaskan orang tempatan daripada pekerja asing,” kata Teresa.

Beliau menambah pelancong Timur Tengah juga cenderung membeli-belah di waktu malam.

Hasan berhujah warga asing yang berkunjung ke negara Barat perlu mensesuaikan diri dengan waktu pusat beli belah ditutup pada jam 7.00 malam.

“Waktu malam sepatutnya diluangkan bersama keluarga. Makan di rumah bersama keluarga,” tegas Hasan.

Teresa menjawab: “Rompin seorang yang membosankan.”

Hasan tidak bersetuju dan menegaskan sudah sampai masanya budaya makan luar atau merayau di pusat beli belah sehingga lewat malam diubah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.