Mapim: Jangan berlengah, Malaysia patut keluar TPP sekarang

Mapim: Jangan berlengah, Malaysia patut keluar TPP sekarang

Ini disebabkan negara kini dalam fasa merombak undang-undang dan dasar negara untuk disesuaikan dengan TPP sehingga 2018.

mohd-azmi-abdul-hamid-coordinator-muslim-intellectual-network
PETALING JAYA:
Malaysia tidak perlu menunggu presiden baharu Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pendiriannya terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) untuk keluar daripada perjanjian yang diterajui Washington itu, kata Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim).

Sebaliknya, Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sekarang masa sesuai untuk berbuat demikian.

“Sebab kita sekarang ini fasa merombak undang-undang dan dasar negara untuk disesuaikan dengan TPP sehingga 2018. Ratifikasi undang-undang negara perlu dibuat sehingga 2018, sebelum TPP akan berjalan sepenuhnya. Jadi, oleh kerana sekarang tidak menentu, pandangan saya ialah Malaysia jangan berlengah lagi.

“Terus isytiharkan keluar daripada TPP kerana kalau betul dikatakan 60% daripada GDP (keluaran dalam negara kasar) seluruh 12 negara itu ada pada AS, yang AS sekarang ini Donald Trump mahu membuat konsolidasi ekonomi dalamannya…jadi itu alasan kuat kita jangan meletakkan Malaysia terlalu bergantung kepada AS,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, Nikkei Asian Review memetik Datuk Seri Najib Razak sebagai berkata, TPP yang bermatlamat menggabungkan ekonomi 12 negara, termasuk Malaysia, tidak akan dilaksanakan tanpa penyertaan AS.

Perdana menteri berkata, TPP tidak boleh diteruskan tanpa AS yang mewakili 60% daripada gandingan KDNK semua 12 negara anggota.

Azmi berkata, rakyat sudah menyatakan pendirian mereka yang tidak mahu Malaysia terperangkap dengan AS.

“Dan ternyata sekarang ini bila perdana menteri mengatakan kita tak boleh laksanakan TPP kerana AS menunjukkan Malaysia antara 12 negara bergantung kepada ekonomi AS dan itu satu risiko bagi kita,” katanya.

Presiden baharu AS, Donald Trump, dalam kempennya berjanji akan membatalkan TPP yang turut disertai Australia, Brunei, Canada, Chile, Japan, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Malaysia setakat ini menggubal beberapa akta bagi memberi laluan kepada beberapa syarat dalam TPP.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, nasib TPP akan ditentukan dalam mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Peru, minggu depan.

Semalam, Mustapa berkata, TPP memerlukan ratifikasi sekurang-kurangnya 6 negara yang menyumbang 85% daripada KDNK 12 negara itu, untuk memastikan perjanjian tersebut dapat dikuatkuasakan.

PAUTAN:

Najib: Tiada AS, tiada TPP

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.